Oleh Syakirin Daud /Videographer/Zul Hafiz Bahrin
LIHAT VIDEO DI SINI
Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil
berkata, angin perubahan kini terasa di Parlimen Kepong setelah sekian
lama dikuasai wakil pembangkang.
Menurut beliau, rakyat semakin sedar tentang jasa dan pengorbanan
Barisan Nasional (BN) untuk memajukan kawasan yang pernah diberi jolokan
sebagai ‘jin bertendang’ tersebut.
“Saya lihat pembangunan terutamanya dari segi prasarana begitu pesat
di Kepong, perumahan rakyat yang bakal menggantikan setinggan juga akan
dibangunkan, pusat bandar Kepong tumbuh seperti cendawan, kaum Melayu,
Cina dan India hidup aman damai. Ini semua hasil usaha BN.
“Walaupun merupakan kawasan pembangkang, tetapi hasil perjuangan
pemimpin BN Kepong yang disambut oleh Menteri Wilayah, Kepong berubah
menjadi metropolis.
“Jadi saya percaya angin perubahan akan melanda dan BN akan berpeluang untuk menang di Kepong,” katanya.
Menurutnya, perubahan positif itu juga merupakan hasil usaha jentera
wanita BN yang tidak putus-putus bekerja siang dan malam untuk memenangi
hati rakyat.
Oleh itu beliau yakin usaha bersungguh-sungguh wanita BN di semua
kawasan akan membantu dalam meningkatkan sokongan pengundi terhadap
parti yang mewakili pelbagai kaum tersebut.
“Di Kepong kita jaga pengundi kita dengan baik, begitu juga di Cheras, Bukit Bintang, dan Seputeh.
“Menang atau kalah itu kita tunggu keputusan, yang pasti usaha
jentera wanita BN tanpa mengenal penat lelah ini akan membawa
peningkatan undi popular kepada BN,” ujar beliau dalam satu sidang media
pada Majlis Pelancaran Jentera Wanita BN Parlimen Kepong di Dewan
Serbaguna DBKL Jinjang, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian
Kepong, Datuk Norizan Ali dan Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie.
Dalam perkembangan lain, Shahrizat yang juga merupakan Ketua
Pergerakan Wanita UMNO itu berkata keputusan untuk dirinya bertanding
atau tidak pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU -14) bukan menjadi
keutamaan.
Menurut beliau, apa yang lebih penting pada saat ini ialah tanggungjawab untuk memastikan kemenangan BN dalam PRU akan datang.
“Saya hanyalah salah seorang daripada pemimpin UMNO-BN. Sama ada bertanding atau tidak saya serahkan kepada perdana menteri.
“Yang mustahak selaku pemimpin yang bertanggungjawab, saya mesti sempurnakan tugas-tugas yang diberikan.
“Jadi jika BN menang nanti maka kemenangan itu akan turut menjadi kemenangan saya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan