Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, kilang memproses nadir bumi itu bukan berada di bawah bidang kuasa Redzuan.
Lynas sebaliknya adalah berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang diterajui oleh menterinya, Yeo Bee Yin.
Jelas Fuziah, keputusan yang telah diambil kabinet adalah mengarahkan Lynas untuk menghantar sisa radioaktif keluaran kilang tersebut ke Australia dan tarikh akhir untuk syarikat berkenaan berbuat demikian adalah pada September ini iaitu sebelum lesennya diperbaharui.
“Perkara ini telah disahkan oleh Menteri Yeo Bee Yin sendiri dan sekiranya Lynas gagal berbuat demikian, ia akan memberi implikasi dalam urusan memperbaharui lesennya.
“Pelaburan langsung asing (FDI) juga bukan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan sebaliknya ia di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Saya bercakap bukan sebagai timbalan menteri tetapi sebagai Ahli Parlimen Kuantan yang mana isu FDI tidak pernah timbul kerana kami selama ini sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelabur asing.
“Kami ada pelbagai syarikat multinasional di Kuantan antaranya BASF yang sangat patuh kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan cuma Lynas sahaja yang sering berdolak-dalik.
“Kini mereka cuma mempengaruhi menteri atau orang kerajaan untuk mempercayai naratif mereka, sama seperti yang mereka lakukan terhadap kerajaan terdahulu,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung Lembaga Halal Kedua di sini hari ini.
Dengan itu, Fuziah menasihatkan Redzuan supaya menumpukan perhatian kepada tugas di kementeriannya sahaja.
Ketika ditanya apakah beliau akan membawa perkara ini kepada perhatian Perdana Menteri, Fuziah menegaskan, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta menteri-menteri kabinet dan pemimpin kerajaan yang lain sudah maklum mengenai pendirian beliau terhadap Lynas.
Redzuan sebelum ini membuat kenyataan kilang Lynas akan diteruskan sebagai salah satu usaha kerajaan untuk menarik FDI ke Malaysia. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan