HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 April 2019

KEENGGANAN TUN M ROMBAK KABINET MENGECEWAKAN






Antara perkara yang menjadi rungutan ramai dalam PH ialah berkaitan prestasi menteri-menteri yang mengecewakan, malah sesetengahnya dilihat tidak layak sama sekali duduk di jawatan tersebut.

Sehubungan itu, hampir daripada semua segmen suara dalam negara ini mahu agar Tun Mahathir Mohamad segera melakukan rombakan kabinet dan membuang mana-mana menteri yang tidak berguna itu.

Lebih memilukan lagi ialah kerana sebahagian besar menteri yang dilihat tidak layak dan banyak merapu itu adalah datangnya daripada Bersatu sendiri.

Dengan yang demikian, kata mereka, sebagai Pengerusi Bersatu, adalah mudah untuk Tun Mahathir membuang mereka itu serta menggantikannya dengan pemimpin lain.

Termasuk yang kerap memberi teguran dan kritikan terhadap menteri-menteri berprestasi rendah dan mengecewakan itu, meskipun setelah 10 bulan memegang jawatan ialah Penasihat Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri sendiri, A Kadir Jasin.

Dalam beberapa tulisan di blognya, Kadir jelas tidak senang dengan mereka itu yang dianggapnya tidak membantu sama sekali Perdana Menteri dalam mengurus negara ini.

Bagaimanapun, meskipun menyedari barisan menterinya tidak membantu, Tun Mahathir nampaknya menolak sama sekali untuk melakukan sebarang rombakan kabinet.

Dalam interbiu dengan sebuah majalah ekonomi, Focus Malaysia semalam, Tun Mahathir berkata, melakukan rombakan belum tentu membantu dan mendatangkan kebaikan.

“Sekiranya saya menggugurkan dan menggantikan mereka, ia tidak akan membantu.

“Saya perlu mencuba dan bekerja dengan mereka supaya mereka menimba pengalaman dan saya percaya ada di antara yang menjalankan kerja dengan bagus,” jelasnya.

Dalam waktu yang sama, Tun Mahathir mahu menteri-menteri menerima sebarang teguran dengan baik, khususnya jika mereka berterusan bersikap seperti pembangkang.

Apa yang jelas, ramai yang nampaknya kecewa dengan pendirian Perdana Menteri berkaitan perkara ini.

Apa yang ramai harapkan, tidak semestinya Perdana Menteri perlu melakukan rombakan kabinet secara besar-besaran, tetapi memadai dengan menukar tiga atau empat menteri yang dilihat gagal, memalukan serta kerap bercakap dengan merapu.

Antara menteri yang dikesan gagal ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun yang kelihatan tidak berfungsi sama sekali.

Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Mohd Yusof dan Menteri Pelajaran, Dr. Mazlee Malik pula dilihat suka bercakap merapu serta kadang-kadang tidak faham bidang tugas mereka.

Akhir-akhir ini yang paling memalukan ialah Redzuan yang gemar bercakap tentang kereta terbang, tetapi beliau sendiri seperti tidak faham beza antara terbang dengan model drone masa depan.

Cakapnya pula selalu tidak selari, sekejap beliau mengatakan model kereta terbang sedang dibangunkan oleh tenaga tempatan, namun di masa yang lain memaklumkan ia sedang dibina dan disiapkan Jepun.

Sebagai Menteri Pembangunan Usahawan, kenapakah beliau tidak fokus kepada tugasnya melahirkan lebih ramai usahawan serta membantu mereka menceburi bidang-bidang keusahawan yang sukar ditembusi oleh usahawan Bumiputera?

Begitu juga dengan Dr. Mazlee, isu kasut hitam, stokin berwarna dan banyak isu remeh lain yang menjadi buah mulut rakyat sebelum ini, sudah cukup untuk menunjukkan ketidaklayakannya memegang jawatan itu.

Begitu juga dengan menteri-menteri daripada PKR, DAP dan Amanah, ada di antaranya yang berpestasi rendah dan merapu, maka Tun Mahathir harus berbincang dengan ketua-ketua parti bagi menukar mereka itu.

Contoh yang paling ketara ialah Muhajid Yusof Rawa, rasanya ramai yang setuju beliau ini wajib digantikan segera kerana banyak kenyataannya lebih menimbulkan kekeliruan berbanding menjernihkan keadaan.

Yang menjadi harapan ramai, memadai jika Tun Mahathir sedia menukar beberapa menterinya saja, itu pun sudah cukup membuatkan rakyat lebih gembira dan tidak terus sengsara jiwa mereka.

Tetapi, dengan enggan merombak sama sekali hanya membuatkan rakyat lebih kecewa terhadap beliau dan PH, di sebalik banyak janji manifesto gagal ditunaikan dan menurunkan kos sara hidup rakyat tidak juga menjadi kenyataan sehingga kini.



Tiada ulasan: