ULASAN | Semalam anggota Jawatankuasa Keselamatan dari Kesatuan Eropah (EU) membabitkan Belgium, Britain, Poland, Jerman dan Perancis mengeluarkan kenyataan mengutuk pengisytiharaan AS bahawa Bukit Golan sebahagian daripada Israel.
Parti Amanah Negara turut mengutuk sekeras-kerasnya pengiktirafan Bukit Golan oleh Rumah Puti itu.
Isu berkenaan dibantah kerana ia bertentangan dengan segala ketetapan antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), EU dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kerana melibatkan rampasan wilayah sebuah negara yang berdaulat iaitu Syria.
Bukit Golan dirampas daripada kerajaan Syria melalui tindakan takluk perang.
Pengisytirahan tersebut - dan pengisytirahan lebih awal Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel - membangkitkan kemarahan rakyat Palestin dan juga umat Islam sedunia.
Presiden Donald Trump kelihatan membuat pengumuman tersebut menjelang pilihan raya Israel untuk membantu rakan sejawatnya, Benjamin Nantanyahu.
Apabila rakyat Palestin bangkit membantah, tentera Israel menembak mati para penunjuk perasaan.
Terbaru, beberapa rakyat Palestin termasuk seorang remaja berusia 17 tahun telah terbunuh.
Nasib Mesir lebih baik
Riyadh yang rapat dengan AS - dan mulai berjinak-jinak dengan Israel - tidak lagi begitu lantang seperti dahulu kala untuk mengecam tindakan zalim ke atas rakyat Palestin.
PBB sendiri tidak mengiktiraf mana-mana kawasan yang ditakluk peperangan atau ketenteraan menjadi milik negara lain seperti Bukit Golan yang asalnya kawasan Syria.
Justeru mengapa Arab Saudi tidak pula lantang dalam isu itu?
Begitu juga Baitulmaqdis. Ia berlalu tanpa banyak diperkatakan oleh negara terbabit walaupun PBB tidak mengiktiraf langkah Tel Aviv dan Washington.
Bagi Mesir, negara itu pernah mengalami sendiri penjajahan Israel yang menduduki Sinai melalui peperangan. Namun Mesir bernasib baik kerana usaha antarabangsa berjaya membawa Sinai kembali ditadbir Kaherah.
Dalam keadaan begitu pun Mesir kelihatan begitu lemah untuk bersuara dalam isu Palestin dan Bukit Golan.
Mesir hari ini semakin bergantung kepada bantuan kewangan AS dan Arab Saudi, dan pada masa sama berjinak-jinak dengan Israel.
Lidah Kaherah semakin kelu apabila berhadapan dengan Washington dan Israel.
Rakyat Palestin berhak berasa dirinya dikhianati oleh dua jiran terdekat - yang sama-sama negara Islam - iaitu Mesir dan Arab Saudi. Kedua-dua negara terbabit secara tradisi suatu ketika dulu memang dikenali sebagai pembela Palestin.
Negara Arab kian lemah
Iraq telah dimusnahkan dengan serangan ketenteraan, Syria sedang dihancurkan dengan puak-puak pemisah yang ditaja, dan Yaman yang miskin sedang mengalami kebuluran meluas kesan serangan Arab Saudi dan sekutunya, termasuk AS, atas alasan ancaman persengketaan Syiah-Sunni.
Qatar - yang memiliki stesyen TV Al Jazeera - pula hari ini dipulaukan ekonominya oleh Arab Saudi serta sekutu mereka dengan sokongan AS.
Selagi negara Arab terus mempunyai pemimpin lemah dan membenarkan diri dimanipulasi serta dipengaruhi AS serta Israel, sehingga itulah nasib Palestin dan seluruh bumi Arab-Islam akan menjadi lemah.
Dunia di sebelah sana akan terus diancam penjajahan minda dan juga kekayaan mereka.
Sebenarnya AS dan Israel bukan lagi berpengaruh dan berkuasa di peringkat antarabangsa seperti dulu.
Hakikatnya negara Arab Islam - seperti Arab Saudi, Mesir dan Syria - semakin lemah kerana isu perbalahan sesama negara Arab Islam kesan hasutan AS dan Israel.
Tiada gunanya OIC meluluskan resolusi demi resolusi yang tidak bertaring untuk mengutuk AS atau Israel kalau mereka senantiasa bersengketa sesama sendiri.
Amanah menggesa resolusi yang patut diluluskan ialah untuk negara Arab-Islam berdamai dan bersatu menghadapi musuh bersama sebenar iaitu AS dan Israel.
Itulah sepatutnya menjadi keutamaan negara Arab - Islam.
Kita umat Islam semuanya bersaudara dan bersatu. Kita akan teguh menghadapi segala ancaman, insya-Allah.
Raja Bahrin Shah ialah pengerusi Biro Antarabangsa Amanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan