LUMUT: Briged
Muslimat dan Ameerah PAS Kawasan serta Puteri Umno Bahagian Lumut telah
bekerjasama menganjurkan XPDC Mahabah yang diadakan di Pusat Ekologi
Vale, Teluk Batik, di sini semalam.
Aktiviti tersebut bertujuan
merapatkan ukhuwah antara sesama anggota dari dua parti besar umat
Melayu Islam itu dan telah menerima 42 peserta yang berusia antara 9
hingga 59 tahun.
Ianya turut dijayakan dengan
bantuan daripada Jabatan Amal Malaysia Lumut dan Pegawai Bomba dan
Penyelamat Malaysia Balai Lumut selaku pemandu arah dan keselamatan
peserta.
Pihak PAS dipimpin Ketua
Ameerah Lumut, Syahirah Abdullah, manakala Umno oleh Ketua Puteri,
Mazwinteh Abd Rahman, dengan pelepasan dan doa dibacakan Ketua Muslimat
PAS Lumut, Rohawati Abidin.

Pendakian tersebut sememangnya mencabar bagi para peserta terhadap aspek stamina diri, namun dikawal menerusi rehat pada 'check point' yang ditetapkan sepanjang rentas sejauh 1,400 meter itu.
Pergerakan tersebut juga
memberi pengalaman dan pendedahan ilmu kepada peserta khususnya mengenai
pertolongan cemas yang sempat diterapkan kepada mereka sepanjang
ekspedisi.

Ianya sekali gus menyemai
nilai murni dan positif, terutama setiakawan yang direalisasikan selain
aspek Islami seperti sahsiah diri, aurat dan maruah selaku muslimah
solehah disebalik aktiviti lasak.
Seusai menuruni laluan
khazanah alam semulajadi itu, peserta telah disegarkan dengan hidangan
kudapan dan tazkirah oleh Pengerusi Lajnah Tarbiyah Muslimat PAS Lumut,
Putiah Shaarani. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan