HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Mei 2021

Ada usaha terancang tanam kebencian terhadap kerajaan – Annuar Musa

Kamariah Khalidi
MGF03052021_ANNUAR-PRIHATIN-RAMADAN09
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bercakap kepada media selepas Program Prihatin Ramadan Wilayah Persekutuan di Kompleks Perbadanan Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL

PUTRAJAYA – Ada usaha terancang untuk menanam kebencian kepada kerajaan Perikatan Nasional, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut beliau, ini kerana banyak berita-berita palsu yang disebarkan secara meluas terutamanya ketika negara berdepan dengan wabak Covid-19.

“Kerajaan mengambil perhatian mengenai perkara ini dan kita nak beritahu bahawa kita sedar ada usaha yang agak terancang untuk menanamkan kebencian kepada kerajaan.

“Kita tahu perkara itu dilakukan secara agak tersusun maka kalau sekiranya kerajaan tidak punya keupayaan untuk membuat penjelasan dalam masa yang pantas dan dengan cara yang berkesan maka kerajaan akan menerima akibatnya.

“Sebab itu kerajaan memandang serius perkara ini dan satu ‘committee’ telah dibentuk di peringkat menteri, kita akan mengambil tanggungjawab memperbaiki keadaan itu.

“Kita sedar mesej yang benar itu lebih lambat sampai kepada rakyat, jadi itu tidak seimbang antara penyebaran dan penularan berita palsu berbanding dengan fakta sebenar,” katanya kepada pemberita selepas Program Prihatin Ramadan 2021 di Perbadanan Putrajaya hari ini.

Annuar mengulas demikian ketika ditanya pemberita mengenai amalan kerajaan yang disifatkan mengamalkan dua darjat lebih-lebih lagi dalam hal-hal berkaitan pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: