HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Mei 2021

Siasat semua ‘katak’ politik termasuk zaman PH – PKR

Muhammad Azizul Osman
MGF03052021_PC-PKR08-1
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat Keadilan, Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL,

PETALING JAYA – PKR mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat semua pemimpin politik yang bertindak lompat parti termasuklah ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, desakan itu dibuat selepas pendedahan dibuat bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang turut mahu badan itu menyiasat ahli politik lompat parti kerana dakwa beliau wujud amalan rasuah.

“Gesaan kami tidak hanya untuk masa sekarang, kami juga mengakui pada masa lepas dalam tempoh 22 bulan kerajaan PH memerintah, kita juga akui ada wakil rakyat UMNO yang (lompat) ikut menyertai komponen dalam PH.

“Kenyataan kami bersikap terbuka dan terpakai kepada semua dan sepanjang masa sebab politik tak boleh dicemari dengan amalan seperti ini (lompat parti, rasuah).

“Saya setuju ianya harus kalau tindakan dan siasatan dibuat tidak boleh ikut tempoh masa zaman PH, sekarang (zaman PN) dan yang akan datang semua perlu disiasat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu mengulas mengenai pendedahan Abdul Hamid bahawa wujud unsur-unsur rasuah dalam aktiviti lompat parti oleh ahli-ahli politik.

“Teguran terbaharu Abdul Hamid bukan sesuatu yang baru buat kami, itu hanya mengesahkan lagi kenyataan kami terdahulu.

“Bola sekarang di kaki SPRM, yang buat pendedahan ini bukan calang-calang orang, beliau ketua polis negara, kalau SPRM memilih berdiam diri itu adalah satu yang malang buat negara kita. Tindakan SPRM juga tidak harus bersikap terpilih,” katanya lagi.

Abdul Hamid yang tamat khidmat sebagai Ketua Polis Negara hari ini pernah menggesa agar SPRM tidak mengambil remeh mengenai perkara ini dan tidak boleh berdiam diri begitu sahaja. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: