HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Mei 2021

'Adakah Umno restui Puad sokong mat rempit merusuh'

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Umno wajar ambil tindakan tatatertib ke atas mana-mana 'binatang politik' yang kuat menghasut ketika darurat, kata Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Muhammad Faiz Na'aman.

"Ketika Aidilfitri baru mencecah hari kedua, sewaktu rakyat masih diancam peningkatan kes Covid-19 serta tumpuan dunia terhadap apa yang berlaku di Gaza, boleh pula seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno seorang ini menyatakan sokongan terhadap sekumpulan Mat Rempit yang melanggar SOP dan PKP merusuh di Batu Pahat," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Faiz juga menyoal sekiranya sokongan Puad "terhadap para pelanggar undang-undang negara itu turut direstui kepimpinan Umno yang lain?"

"Memusuhi kerajaan yang dianggotai tokoh-tokoh pemimpin mereka sendiri," katanya.

Faiz mengulas Anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi yang menafikan kaitannya dengan insiden rusuhan di Johor semalam yang membantah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, Puad berkata, kerajaan dan pemimpin perlu memikirkan mengapa pada hari raya pertama, ada rakyat yang sanggup melakukan perkara tersebut.

“Jangan fikir soal nak tangkap mereka sahaja.

“Bukan itu sahaja, ada yang berhari raya di lebuh raya sambil tayang sepanduk ‘Kerajaan Gagal,” katanya.

Puad seterusnya mengucapkan tahniah kepada orang di Parit Raja yang membuat bantahan bekenaan.

“Semoga PM 8 (Muhyiddin Yassin) berpijak di bumi nyata. Tahniah orang Parit Raja,” katanya.

Terdahulu, polis memaklumkan telah menerima aduan tentang satu video perhimpunan, pembakaran suar dan kejadian menaikkan kain rentang yang tertulis ‘Kerajaan Gagal’ tanpa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Seterusnya, polis telah menangkap 20 orang yang dipercayai terlibat dengan kejadian merusuh termasuk mereka yang membuat, mengantung kain rentang dan membakar suar di Parit Raja, Batu Pahat yang tular dalam laman sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata rata-rata tangkapan berumur di antara 16 hingga 28 tahun dan merupakan penduduk setempat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 144/269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Tiada ulasan: