HALAMAN SANTAI

Isnin, 17 Mei 2021

ADUN Bukit Batu didakwa langgar SOP Aidilfitri

 Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

GAMBAR dikongsi seorang pengguna Facebook memaparkan Jimmy Puah Wee Tse (dua kiri) yang didakwa melakukan kunjungan raya semasa Aidilfitri baru-baru ini di Johor.

JOHOR BAHRU: Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila membuat kunjungan semasa sambutan Aidilfitri.

Meskipun tidak diketahui dengan jelas lokasi kediaman dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu itu kelihatan dalam sekeping gambar yang dimuat naik seorang pengguna Facebook baru-baru ini.

Ketua Cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Cawangan Tanjung Selatan, Ahmad Anwar Asyraf Ismail berkata, Johor antara negeri terjejas teruk dengan Covid-19, namun tindakan Jimmy Puah dilihat sangat biadap dan tidak bertanggung jawab.

“Dalam hantaran itu, pemilik akaun memuat naik beberapa gambar suasana hari raya pertama di rumahnya. Jelas kelihatan YB Jimmy Puah makan di rumah pemilik akaun menerusi sekeping gambar di meja makan.

“Sangat jelas beliau melanggar undang-undang secara sedar dan sengaja secara berkumpulan melakukan ziarah raya ke kediaman pemilik akaun,” katanya di sini, hari ini.

Ahmad Anwar berkata , pemilik akaun itu telah memadam hantaran tersebut di Facebook miliknya, namun beliau telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bagi membolehkan siasatan dijalankan.

“Di Terengganu, ADUN Jabi didenda RM2,000 kerana jiran sebelah rumah datang ke rumahnya. Namun, ini berbeza kerana ternyata kediaman Jimmy Puah jauh dari rumah yang beliau datang beraya secara berkumpulan.

“Tindakan beliau membahayakan nyawa orang ramai secara sengaja dan wajar mendapat hukuman lebih daripada RM2,000 setiap individu yang terlibat jika pihak berkuasa bertindak adil,” katanya.

Malah, beliau turut mencabar Jimmy Puah menyerah diri ke balai polis sepertimana yang telah dilakukan oleh ADUN Jabi.

Sementara itu, polis akan menjalankan siasatan terhadap Jimmy Puah atas dakwaan tersebut selepas pihaknya mendapat aduan berkenaan perkara itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Suhaimi Ishak berkata, seorang pengadu berusia 38 tahun menyedari perkara itu ketika sedang melayari laman Facebook di Taman Maharani, Jalan Bakri, Muar pada pukul 3 petang.

“Ketika melayari Facebook, dia terlihat satu akaun telah memuat naik gambar seorang ADUN ziarah hari raya pertama di rumah beralamat Taman Desa Jaya, Ulu Tiram.

“Gambar tersebut jelas terlihat seorang Yang Berhormat dari sebuah parti politik sedang makan dan beraya bersama di rumah pemilik akaun Facebook berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Sohaimi berkata, polis akan menjalankan siasatan terhadap ADUN berkenaan yang dikenal pasti sebagai Jimmy Puah.

“Siasatan lanjut polis juga sedang mengesan pemilik akaun Facebook berkenaan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan dan Kawalan Peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan yang Dijangkiti) 2021,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: