KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) membuat lima laporan polis mengenai dakwaan pemimpin parti itu menyokong Israel seperti ditularkan di media sosial.
Gambar tular itu dimuat naik menerusi akaun Facebook Danny Lukas Jr yang dipercayai akaun palsu pada 6.30 petang semalam.
Ketua Pemuda STAR, Rizal Johari berkata, STAR Sabah turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap akaun pengguna Facebook tersebut.
“Individu itu bukan ahli STAR namun kerap memuat naik kenyataan di Facebook dengan mendakwa mewakili STAR untuk mengelirukan orang ramai.
“Kami kerap memantau akaun tersebut (Danny) dan kami menghormati hak setiap individu untuk menyuarakan pandangan mereka melalui media sosial.
“Namun, individu ini sudah melampaui batas bila dia memuat naik gambar yang memfitnah dan menuduh STAR menyokong kekejaman. Perbuatan ini tidak boleh diterima dan pihak berwajib perlu mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rizal berkata, selain lima laporan polis yang telah dibuat, beberapa bahagian lain akan turut membuat laporan polis yang sama terhadap Danny.
Beliau turut menasihatkan penyokong STAR supaya kekal bertenang dan tidak mudah terpedaya dengan kenyataan yang bukan dikeluarkan oleh pemimpin parti.
Dalam gambar yang dimuat naik oleh Danny Lukas Jr, dia menyatakan Presiden STAR dan seluruh jentera STAR Sabah teguh bersama Israel. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan