Bernama
Hasni
berkata ia bagi membincangkan usaha untuk memperkukuh dan menambah baik
segala langkah yang telah dan akan diambil. - Gambar fail/ Bernama
JOHOR BAHRU:
Semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pihak
kerajaan dan pembangkang Johor akan mengadakan pertemuan minggu depan
bagi membincangkan soal kebajikan rakyat negeri itu ekoran penularan
pandemik COVID-19.
Menteri Besar
Johor Datuk Hasni Mohammad berkata ia antara lain bagi membincangkan
usaha untuk memperkukuh dan menambah baik segala langkah yang telah dan
akan diambil oleh kerajaan negeri serta Kerajaan Persekutuan untuk
membendung pandemik itu, selaras dengan titah Sultan Johor Sultan
Ibrahim Sultan Iskandar.
"(Perbincangan)
Ini termasuklah meningkatkan kapasiti Pusat Kuarantin dan Rawatan
COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) sedia ada dan Pusat Pemberian Vaksin
(PPV) di Johor.
"Meskipun
Ordinan Darurat sedang berkuat kuasa, kerajaan negeri akan memastikan
Setiausaha Kerajaan dan Penasihat Undang-Undang Negeri Johor melihat
kelancaran perbincangan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari
ini.
Beliau berkata kerajaan negeri turut
memberi jaminan bahawa perkara yang diputuskan dalam mesyuarat itu akan
dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara.
Terdahulu,
Sultan Ibrahim menitahkan semua Ahli Parlimen dan ADUN di Johor
mengadakan satu perbincangan khas berhubung COVID-19 untuk memberikan
buah fikiran dan pandangan masing-masing dalam membendung penularan dan
menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat Johor.
Sementara
itu Pakatan Harapan (PH) Negeri Johor turut menjunjung titah Sultan
Johor dan mengajak semua Ahli Parlimen dan ADUN di Johor untuk
bersama-sama berbincang berkenaan dengan permasalahan COVID-19 yang
semakin meningkat di negeri ini.
Perkara
itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama Pengerusi PH Negeri
Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Negeri Johor Syed Ibrahim Syed
Noh dan Pengerusi DAP Negeri Johor Liew Chin Tong di sini hari ini.
"PH
Johor akan memberikan komitmen bagi memenuhi titah berkenaan demi
menyelamatkan Johor daripada wabak yang sedang mengancam rakyat di
negeri ini," menurut kenyataan itu.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan