AGENDA DAILY
Gagasan jajaran baharu politik UMNO bersama PKR dan DAP dibuat hanya mahu memenuhi kemahuan nafsu sebilangan kecil pihak yang ada kepentingan tertentu demi mengekalkan kuasa masing-masing.
Mendedahkan perkara itu, Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mustafa Salim berkata rancangan untuk menjayakan gagasan itu sukar dilaksanakan malah akan mendatangkan implikasi dahsyat kepada ketahanan politik UMNO.
Malah tegasnya, UMNO akan menjadi mangsa buli DAP, yang sentiasa mempunyai niat tersembunyi sejak sekian lama terhadap parti Melayu itu.
“Jika UMNO mengambil tindakan membuat pilihan bersama DAP, saya nampak DAP akan lebih teruk lagi atau akan lebih membuli UMNO mengikut kehendak dia.
“Ia hanyalah (kemahuan) sebilangan kecil pihak yang ada kepentingan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya , UMNO tidak akan menjadi lebih kukuh dan selamat kerana DAP sudah sekian lama berdendam dan hanya akan mempergunakan Melayu untuk kepentingan bangsanya.
Menurut beliau, DAP dengan apa cara sekali pun tidak akan boleh menerima parti Melayu khususnya UMNO kerana parti ini kuat mempertahankan raja-raja Melayu dan lebih mempertahankan ketuanan Melayu walaupun itu dinafikan sesetengah pihak khususnya orang Melayu yang berada dalam DAP.
“Ini kita sudah nampak walaupun macam mana hebat sekali pun Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa beliau menerajui Malaysia di bawah kerajaan PH ketika itu, tetapi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuntut jawatan tertentu yang khusus kepada DAP,” katanya.
Dalam hal itu, Mustafa berkata, sebilangan besar orang Melayu tidak akan menerima UMNO bersama-sama DAP walaupun selepas PRU-15.
Beliau berkata, walaupun UMNO parti paling banyak kerusi, namun jika ditakdirkan UMNO bersama Pakatan Harapan (PH), DAP akan lebih patuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak hormat kepada UMNO.
Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan tidak akan ada mana-mana parti yang memenangi kerusi pada PRU-15 boleh membentuk sebuah kerajaan yang stabil.
Agenda Daily sebelum ini melaporkan, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bakal terbentuk jajaran baharu politik bersama PKR dan DAP yang akan dikenali sebagai Perikatan 3.0 dan bukannya Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Khabar angin juga semakin kuat kedengaran Zahid adalah perancang utama untuk menjayakan kerjasama antara UMNO dengan blok pembangkang, PH bagi menghadapi PRU15 nanti.
Malah, klip audio tular Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Zahid juga membuktikan wujud pakatan sulit antara kedua-dua individu untuk memastikan gerakan rahsia tersebut berjaya.
Dalam pada itu, DAP sudah memberi ‘lampu hijau’ kepada UMNO untuk menjalinkan jajaran baharu politik itu namun perlu menerima calon perdana menteri daripada PH, iaitu Anwar sekiranya mahu bekerjasama.
Mengukuhkan fakta tersebut, dilihat program UMNO mulai berjalan bersama DAP apabila Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad menziarahi seorang mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menghidapi kanser tahap empat bersama Ahli Parlimen DAP Bangi, Ong Kian Ming.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan