HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Mei 2021

Tiada GRS jika Warisan sertai PN

Oleh SURAIDAH ROSLAN

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak lagi wujud sekiranya Parti Warisan Sabah (Warisan) menyertai Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong berkata, sekiranya Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal inginkan kedudukan sudah lama tawaran sebagai Timbalan Perdana Menteri diterima oleh Presiden Warisan itu.

Beliau berkata, sehingga kini jawatan tersebut masih lagi kosong namun Warisan kekal berprinsip dan menghormati mandat yang rakyat berikan.

Katanya, biarpun Pakatan Harapan (PH) bukan lagi kerajaan yang memerintah, itu bukan bermaksud Warisan akan hilang prinsip dan menyokong kerajaan hari ini.

“Kita kena pegang kepercayaan rakyat dan tidak lupa perjuangan kita. Perjuangan kita bukan untuk menjadi menteri atau mengejar kedudukan, kita berjuang untuk mengembalikan hak-hak Sabah,” katanya dalam program bual bicara ‘Sabah Negeri Merdeka?’ menerusi siaran langsung Facebook malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru itu berkata demikian sebagai maklum balas terhadap pelawaan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk Warisan menyertai PN.

Menurutnya, biarpun dalam politik tiada perkara yang mustahil namun buat masa ini Warisan tidak berhasrat untuk bekerjasama dengan UMNO demi menghormati mandat rakyat.

“Perjuangan Warisan adalah untuk membela nasib rakyat Sabah maka, mereka boleh bekerjasama dengan pihak yang mempunyai perjuangan yang sama dengan Warisan iaitu ingin mengembalikan hak Sabah.

“Perjuangan mengembalikan hak-hak Sabah belum selesai sebaliknya ia baru bermula,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, sudah berpuluh tahun negara ini merdeka namun Sabah masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur mahupun pendidikan.

Katanya, Sabah masih belum merdeka sehingga sekarang kerana masih banyak kemudahan asas serta sekolah daif yang perlukan pembinaan baharu dan penaiktarafan di negeri ini.

Ketika ini terdapat 587 buah sekolah daif di Sabah yang memerlukan pembaikan dengan peruntukan kira-kira RM3 bilion. UTUSAN

Tiada ulasan: