HALAMAN SANTAI

Ahad, 16 Mei 2021

MP DAP dakwa bukan terserempak, perjelas program dengan Menteri UMNO dirancang

AGENDA DAILY

Kian Ming tampil menjelaskan situasi sebenar susulan tular gambar bersama mereka berdua dalam satu program yang disertai Rabu lalu.

 

Susulan kontroversi program dengan DAP dan UMNO, Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming membuat penjelasan program di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini sememangnya dirancang bersama dengan Menteri UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad dan bukan beliau yang meminta untuk turut serta seperti didakwa Ketua Wanita UMNO tersebut.

Kian Ming, wakil rakyat Parlimen Bangi itu malah mempertahankan Menteri Pengajian Tinggi (KPT) yang disifatkannya sebagai seorang menteri yang prihatin dan berdedikasi dalam melaksanakan tugasnya, baik sebagai ahli parlimen mahu pun sebagai menteri.

“Ada ramai orang yang ada persepsi berlainan terhadap DNA (Noraini) oleh kerana video tiktok dan youtube yang menjadi viral. Tetapi Dr Noraini yang saya tahu adalah seseorang yang sama sekali berbeza.

“Beliau rajin dan cerdas, serta mengambil berat tentang pengundi dan tanggungjawabnya sebagai ahli Parlimen dan sekarang sebagai Menteri Pengajian Tinggi (KPT). Beliau mempunyai niat baik untuk kementerian tetapi memerlukan sedikit masa untuk menerapkan dasar yang diinginkan. Jadi, tolong beri dia rehat lah,” katanya dalam status akaun Facebooknya.

Kian Ming tampil menjelaskan situasi sebenar susulan tular gambar bersama mereka berdua dalam satu program yang disertai Rabu lalu.

Susulan penularan gambar tersebut, timbul dakwaan pemimpin UMNO menerima arahan daripada Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengarahkan supaya pimpinan UMNO untuk turut menjemput wakil DAP dalam setiap program anjuran parti.

Bagaimanapun Noraini menafikan menerima arahan yang didakwa berkenaan.

Mengulas lanjut berhubung gambar program bersama, Kian Ming berkata, baru-baru ini, beliau mendapat berita seorang pelajar PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (dibawah kawasan parlimennya) telah didiagnosis kanser tahap empat, justeru beliau berkongsi berita itu dengan Noraini atas kapasitinya sebagai menteri KPT.

“Setelah menerima berita ini, beliau (Noraini) menghubungi Naib Canselor UKM, Prof Ekhwan (VC paling rendah hati yang pernah saya temui), untuk mendapatkan maklumat tentang pelajar ini.

“Selepas lawatan ke UKM baru-baru ini di mana Noraini meninjauu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di UKM untuk berjumpa dengan sukarelawan MyVac, beliau mengajak saya untuk melawat pelajar ini yang tinggal berdekatan. Pelajar itu terkejut dengan lawatan menteri bersama VC dan juga Ketua Pengarah Pengajian Tinggi. (Dia juga menyiarkan gambar-gambar ini di laman sosialnya sendiri,” katanya lagi.

Rabu lalu, Noraini bersama dengan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Hussaini Omar telah menziarah Azura Omar, seorang pelajar PhD di UKM yang sedang berjuang melawan penyakit kanser. Turut bersama dalam lawatan tersebut Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman dan Ong Kian Ming.

Terdahulu Agenda Daily melaporkan Zahid membayangkan bakal terbentuk jajaran baharu politik bersama PKR dan DAP yang akan dikenali sebagai Perikatan 3.0 dan bukannya Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Pendedahan terbuka Zahid itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi khabar angin sebelum ini dengan menyifatkan langkah tersebut diambil sesuai dengan dinamik politik yang sedang berlaku mengikut perubahan dan keadaan politik semasa negara.

Tegas Zahid, jajaran baharu itu tidak melibatkan PN yang ada sekarang bagaimanapun beliau tidak mendedahkan parti yang akan bersama dalam gabungan baharu itu.

Namun, sebelum ini beberapa pemimpin parti mendakwa Zahid sedang berusaha untuk membawa UMNO duduk serumah bersama PKR dan DAP.

Tiada ulasan: