HALAMAN SANTAI

Ahad, 16 Mei 2021

MP DAP yang mahu ‘join’ program selepas terserempak, kata Noraini

AGENDA DAILY

Ketua Wanita UMNO yang juga Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata sesuatu kepada pelajar universiti yang tidak pulang ke kampung sempena Aidilfitri, sambil diperhatikan Ahli Parlimen Bangi daripada DAP, Ong Kian Ming, 13 Mei lalu. - Gambar Facebook Dato' Dr. Noraini Ahmad

 

Datuk Seri Noraini Ahmad yang terpalit dengan kontroversi program bersama wakil DAP di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendakwa terserempak dengan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming yang kemudiaannya meminta mahu turut serta bersama dalam lawatan menemui pelajar di universiti tersebut.

Ketua Wanita UMNO merangkap Menteri Pengajian Tinggi itu berkata pada awalnya beliau bertembung dengan Kian Ming ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di mana ahli Parlimen DAP itu turut berada di situ.

Rentetan itu, Noraini berkata Kian Ming mahu menyertainya dalam satu lawatan ziarah seorang mahasiswa UKM selepas Noraini memaklumkan kepadanya tentang hasratnya itu.

“Saya ke PPV di UKM untuk berjumpa dengan sukarelawan MyVac yang tidak pulang ke kampung halaman untuk sambut Aidilfitri. Di situ saya terserempak dengan Ong (Kian Ming).

“Sebelum beredar, Ong (Kian Ming) tanya hendak ke mana dan saya jawab hendak pergi ziarah pelajar UKM yang sakit dekat Sungai Merab.

“Kemudian dia kata hendak ikut sebab itu bawah Parlimen dia. Itu sahaja. Sebab itu saya kata arahan kononnya daripada presiden UMNO itu fitnah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rabu lalu, Noraini bersama dengan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Hussaini Omar telah menziarah Azura Omar, seorang pelajar PhD di UKM yang sedang berjuang melawan penyakit kanser. Turut bersama dalam lawatan tersebut Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Dalam pada itu Noraini menafikan bahawa menerima arahan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meminta supaya pimpinan UMNO untuk turut menjemput wakil DAP dalam setiap program anjuran parti itu.

Beliau berkata, dakwaan tersebut merupakan fitnah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba memecahkan perpaduan di dalam UMNO.

“Ini semua fitnah. Saya tidak mengetahui kewujudan Whatsapp group tersebut. Jika betul ada, ia bukan Whatsapp group rasmi MT UMNO. Mungkin sengaja dibuat untuk fitnah parti,” katanya.

Terdahulu semalam tular kononnya wujud perbualan WhatsApp yang didakwa daripada kumpulan Majlis Tertinggi UMNO.

Perbualan itu merujuk kepada langkah Noraini menjemput Kian Ming dalam satu program lawatannya pada Rabu lalu.

Tiada ulasan: