HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 Mei 2021

Pas Johor dukacita pembahagian jawatan ahli majlis, ketua kampung

MGF01052018_SIDANG-MEDIA-PAS01
Abdullah Husin

KUALA LUMPUR – Pas Johor memberi perhatian serius terhadap perkembangan muktakhir berkaitan pembahagian jawatan ahli majlis (AM) dan ketua kampung (KK) di seluruh negeri yang telah diluluskan oleh menteri besar.

Pesuruhjaya Pas negeri, Abdullah Husin berkata, berdasarkan kepada pelantikan AM yang terkini di Majlis Perbandaran Muar, Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) tiada lantikan daripada wakil Pas seperti mana yang telah dipersetujui dalam perbincangan sebelum ini.

Katanya, Pas Johor tidak dipanggil untuk mengadakan perbincangan bagi lantikan KK seluruh negeri yang menyaksikan Pas hanya diberikan sebanyak 36 KK yang mewakili hanya lima peratus KK di negeri itu.

“Apa yang berlaku ini memberikan isyarat yang salah dalam usaha memperkasa Muafakat Nasional (MN) di Johor khususnya, sejak dari mula penubuhan kerajaan baharu pada bulan Mac tahun lalu,” katanya menerusi hantaran di Facebook Pas Johor.

Abdullah berkata, Pas Johor sentiasa bersikap terbuka untuk mengadakan pertemuan dengan menteri besar dan exco yang berkaitan, namun ia seolah-olah tidak membuahkan hasil yang positif.

Ujarya, Pas Johor juga telah menggunakan platform mesyuarat MN untuk membawa hasrat yang akhirnya telah dipersetujui bersama namun hasilnya adalah sangat mendukacitakan.

Bagaimanapun tegas beliau, PasJohor tetap berpegang kepada arahan Presiden Pas supaya terus memperkasa MN dan mempertahan kerajaan Perikatan Nasional.

“Namun sekiranya perkara ini tidak diperbaiki, maka dibimbangi tindakan MB Johor ini akan mengeruhkan lagi keadaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: