KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) meminta satu siasatan menyeluruh dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahan Ketua Polis Negara baru-baru ini.
Ia termasuk campur tangan Menteri Dalam Negeri dalam pelantikan hieraki Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain tindakan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mempertikaikan integriti ahli politik yang didakwa ‘membeli’ ‘katak-katak’ melompat di sana-sini.
Kenyataan ini, kata beliau, mengesahkan berlakunya tawar-menawar untuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ‘lompat katak’.
Pendedahan itu, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Mujahid Yusof membuktikan betapa rasuah politik yang diamalkan untuk Perikatan Nasional (PN) kekal berkuasa sudah sampai ke tahap kronik.
Menurut beliau, kenyataan Abdul Hamid itu seolah-olah satu kenyataan hilang kepercayaan terhadap kerajaan PN pada hari ini.
”Ia bukan kenyataan politik dari mana-mana pimpinan parti tetapi dari KPN sendiri dilakukan dalam sidang akhbarnya yang terakhir. Ini adalah isyarat kepada bagaimana rasuah politik menjadi kanser yang sukar dibendung!.
”Oleh kerana itu, satu siasatan menyeluruh oleh SPRM kepada kenyataan KPN bakal bersara perlu dibuat atas dakwaan serius ini.
“Termasuklah desakan membentuk Suruhanja Bebas Diraja tentang integriti KDN dan menterinya hari ini yang telah merosakkan imej demokrasi dan integriti kerajaan dengan membeli MP dan Adun untuk mencipta ketidakstabilan politik,” katanya dalam kenyataan di sini.
Malah, tambahnya, jika Menteri Dalam Negeri ada maruah untuk berdepan dengan tuduhan berat ini, beliau perlu membersihkan semuan tuduhan ini demi memelihara integriti pasukan polis dan kementeriannya yang dituduh pencetus kepada lahirnya ‘katak-katak yang melompat’
”Jika KPN secara berani menyebut kepincangan besar dilakukan menteri yang menjaga keselamatan awam, ini tandanya kerajaan PN gagal, di mana PM harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya dengan pendedahan ini.
”KPN baru tidak mungkin mewarisi kepimpinan tanpa isu besar seperti integriti dan rasuah ini diselesaikan terlebih dahulu demi memelihara maruah dan demokrasi negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan