HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Mei 2021

PAS sanggup main banyak kolam demi penyatuan umat, kata Naib Presiden

AGENDA DAILY

PAS kekal bersama dalam gabungan Perikatan Nasional dan pada masa sama masih mempertahankan Muafakat Nasional bersama UMNO.

Walaupun PAS dilabel parti yang bermain banyak kolam ia adalah bertujuan memastikan penyatuan umat dapat tercapai bagi mengelakkan perpecahan dalam masyarakat khususnya orang Melayu-Islam, kata Naib Presidennya, Senator Idris Ahmad.

Idris berkata parti Islam itu sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik selagi matlamat penyatuan orang Melayu-Islam dapat dipertahankan, malah PAS tetap konsisten dengan pendirian untuk bersama dengan Muafakat Nasional (MN) dan juga dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kita bukan main dua kolam, macam-macam kolam kita main. Tapi yang penting untuk kesepaduan umat.

“Sekarang ini kita bincang di depan mata, untuk satukan perpaduan umat supaya kita juga yang tidak akan rugi,” katanya kepada Agenda Daily.

Pendirian Idris juga dikongsi sama oleh Ketua Pemuda PAS Pusat, Senator Ir Khairil Nizam Khiruddin yang menjelaskan penyatuan umat bukan semata-mata hak ekslusif PAS atau pun UMNO dan sebarang kerjasama politik mempunyai dinamik yang tersendiri.

“Dahulu saya jawab secara teknikal. Sekarang kalau main 10 kolam sekali pun demi penyatuan ummah saya akan buat. Penyatuan ummah bukan hak eksklusif PAS dan UMNO, ia juga melibatkan NGO, NGI serta parti-parti bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Kalau selepas ini saya bekerjasama dengan MCA macam mana? Kalau saya jumpa pula dengan NGO Muslim yang kuat, satu kolam lagi. Kita dah jelas bagitahu, ini bukan lagi hak milik UMNO dan PAS.

“Ini adalah milik hak umat Islam dan hak orang bukan Islam yang tidak ekstrem yang mahukan kepada penyatuan rakyat,” katanya dipetik Sinar Harian.

Berhubung kesan terhadap keputusan UMNO menarik sokongan daripada kerajaan PN, Khairil Nizam berkata UMNO perlu mencari penyelesaian dalam kemelut dalaman mereka hadapi, namun yang lebih penting ketika ini adalah memperkukuhkan sokongan PN untuk menghadapi pilihan raya umum nanti menjadi keutamaan PAS.

“Jadi, kalau UMNO kata dia tidak mahu bersama dengan kerajaan PN, kami pun terfikir kalau dah bubar Parlimen esok, menteri-menteri UMNO buat apa?

“Jadi saya rasa mengenai rumah tangga mereka (UMNO), biarlah mereka selesaikan dahulu. Kita di peringkat PN ini, perlu terus mencari sokongan. Mana-mana yang minat bersama dengan PN, hendak menyokong silakan. Tapi mereka bukannya ahli PN. Terbaharu, parti Gerakan telah bersama kita,” katanya lagi.

Untuk rekod, PAS sudah menyatakan komitmen untuk meneruskan rundingan kerusi dengan Bersatu, rakan komponen yang disertainya bersama PN.

Bagaimanapun rundingan kerusi dengan UMNO masih belum dibincangkan dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan sebelum ini menegaskan UMNO perlu menyelesaikan kemelut dalaman mereka terlebih dahulu sebelum sebarang rundingan kerusi dijalankan antara kedua-dua parti.

Tiada ulasan: