AGENDA DAILY
Tindakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohd Puad Zarkashi menyokong kumpulan perusuh di Batu Pahat semalam disifatkan sebagai ‘binatang politik’ yang cuba menghasut rakyat menentang kerajaan semasa negara masih bergelut menangani penularan Covid-19.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Bin Na’aman mengecam Puad yang tidak sensitif dengan keadaan rakyat yang sedang menyambut hari raya dalam suasana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi masih menyokong aktiviti yang boleh menjadi punca penularan virus membunuh itu.
“Ketika Aidilfitri baru mencecah hari kedua, sewaktu rakyat masih diancam peningkatan kes Covid-19 serta tumpuan dunia terhadap apa yang berlaku di Gaza, boleh pula seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO seorang ini menyatakan sokongan terhadap sekumpulan Mat Rempit yang melanggar SOP (prosedur operasi standard) dan PKP merusuh di Batu Pahat semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Faiz mempersoalkan tindakan Puad tersebut yang seakan mendapat restu pemimpin UMNO lain walhal kabinet Perikatan Nasional (PN) sekarang juga masih terdiri daripada Ahli Parlimen daripada partinya sendiri.
“Adakah sokongan terhadap para pelanggar undang-undang negara itu turut direstui kepimpinan UMNO yang lain? Memusuhi kerajaan yang dianggotai tokoh-tokoh pemimpin mereka sendiri?
Jelasnya lagi, sokongan mantan ahli parlimen yang kalah di tempat sendiri itu terhadap para perusuh juga bagaikan suatu penentangan terhadap nasihat serta seruan Yang Di-Pertuan Agong terutama menjelang Aidilfitri supaya rakyat semua jaga diri, patuhi SOP dan beraya di rumah demi nyawa masing-masing.
Beliau menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadapi ‘binatang politik’ yang mengambil kesempatan untuk menghasut rakyat melanggar undang-undang dan tidak menghormati titah Agong.
“UMNO wajar ambil tindakan tatatertib ke atas mana-mana ‘binatang politik’ yang kuat menghasut ketika darurat masih diperkenan YDP Agong ketika ini,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Agenda Daily melaporkan Puad mengucapkan tahniah kepada kumpulan yang berhimpun di Parit Raja, Batu Pahat bagi menyatakan bantahan terhadap kerajaan PN dan membidas tangkapan yang dibuat oleh pihak polis.
Semalam, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kejadian merusuh dengan membakar flare di Parit Raja, Batu Pahat yang tular dalam laman sosial, sementara yang lainnya sedang diburu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata lelaki tempatan berumur 21 tahun itu ditahan ketika dipanggil untuk memberi keterangan mengenai kejadian di Balai Polis Parit Raja, Batu Pahat.
Katanya, sebelum itu, polis telah dimaklumkan oleh orang awam mengenai penemuan kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ yang digantung di sebuah jejantas di Jalan Parit Raja menuju ke Ayer Hitam pada jam 11.04 pagi ini.
Bagaimanapun, Puad menafikan terlibat dalam rancangan perhimpunan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan