HALAMAN SANTAI

Isnin, 17 Mei 2021

Puji tindakan rakyat Malaysia kecam Israel, Armada lancar kempen derma kilat

Oleh MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN

KUALA LUMPUR: Tindakan rakyat Malaysia yang giat menterjemah berita-berita terkini sebagai usaha bersama khalayak untuk mematahkan pembohongan zionis Israel dan serangan keganasan ke atas Palestin wajar dipuji.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, walaupun terpaksa berdepan pelbagai tapisan di media sosial dengan memadamkan pautan berkenaan keganasan rejim zionis Israel, usaha memaparkan keganasan Israel adalah wajar diteruskan.

“Keganasan ke atas rakyat Palestin yang amat kejam ini adalah tidak lain dan tidak bukan jenayah kemanusiaan yang wajib dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hage.

“Armada juga menyeru semua pihak agar menegakkan naratif yang benar bahawa pihak yang memulakan kekejaman dan penjajahan ini adalah Israel dan episod baharu ini dimulakan oleh rakyatnya yang merampas rumah rakyat Palestin di kejiranan Sheikh Jarrah, Baitulmuqaddis di bawah perlindungan pasukan bersenjata Israel.

“Mereka juga telah menyerang rakyat Palestin terlebih dahulu termasuk serangan ke atas tunjuk perasaan di Gerbang Damsyik pada 30 April dan keganasan ke atas masyarakat Kristian yang sedang menyambut Hari Paskah di Gereja Kebangkitan pada 1 Mei 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Kenyataan itu hadir susulan laporan media antarabangsa berhubung konflik antara Israel yang terus melancarkan serangan udara terhadap Gaza, Palestin sehingga hari ini.

Ketegangan antara kedua-dua negara tersebut yang bermula sejak Isnin minggu lalu, semakin meningkat sehingga Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran ia bakal mencetuskan peperangan secara besar-besaran.

Siri keganasan itu meletus selepas konflik Israel-Palestin meningkat di Baitulmuqaddis Timur berikutan pasukan keselamatan Israel menyerbu Masjid Al-Asqa dan menyerang penduduk Palestin.

Dalam pada itu, bagi meneruskan usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap konflik tersebut, Armada sedang menggiatkan kempen derma kilat dengan sasaran RM100,000 dalam tempoh 24 jam melalui jentera parti di 191 bahagian seluruh negara bagi mengumpul infaq daripada ahli parti.

Katanya, dana tersebut akan disalurkan terus ke akaun khas kendalian Wisma Putra seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar yang menjalankan bantaun kemanusiaan di Palestin iaitu Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR).

“Anak-anak muda di Malaysia dan seluruh juga diseru agar terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk segala usaha diplomasi, misi kemanusiaan dan advokasi umum ke arah menghentikan jenayah perang ini dengan segera dan mencari penyelesaian jangka panjang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: