HALAMAN SANTAI

Jumaat, 21 Mei 2021

Sudah tahu kena tipu, tapi masih pertahan ‘penderma’ vaksin – DPPPP

Manzaidi Mohd Amin
hanif
Hanif Haron

KUALA LUMPUR – Walaupun syarikat yang kononnya menawarkan sumbangan dua juta vaksin Sinovac kepada kerajaan DAP Pulau Pinang tidak wujud dan palsu tetapi kerajaan negeri itu dilihat seperti masih mempertahankan ‘penderma’ berkenaan.

Sama ada, Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow mengambil kesempatan itu dengan cubaan untuk meraih simpati rakyat atau sebaliknya, Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang (DPPPP) menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar.

Ketua Penerangannya, Hanif Haron percaya, di sebaliknya isu itu, seolah ada sandiwara dan muslihat politik di pihak kerajaan negeri apabila kerajaan pusat mengesahkan tawaran tersebut adalah palsu dan satu penipuan scam.

“Luahan kekesalan oleh Ketua Menteri kononnya kerajaan pusat enggan meluluskan sumbangan dari penderma terbabit seperti ada unsur untuk meraih simpati rakyat supaya menyalahkan kerajaan pusat.

“Dalam keadaan sekarang pun, dia cuba untuk memperlihatkan dirinya sebagai hero rakyat dengan usaha memperolehi vaksin tersebut dan kemudian mempolitikkannya seakan Pulau Pinang ditindas atau dilayan secara tidak adil oleh kerajaan pusat.

“Sedangkan, hakikatnya perbuatan Kon Yeow itu memalukan dirinya, apabila sebuah kerajaan negeri mudah ditipu dalam perkara yang melibatkan kesihatan dan keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendedahkan sebuah syarikat swasta yang didakwa kerajaan Pulau Pinang mahu mendermakan dua juta dos vaksin Sinovac kepada negeri itu, sebenarnya tidak wujud.

Beliau menyatakan, syarikat itu sebenarnya satu penipuan (scam) dan terkejut bagaimana seorang ketua menteri menerimanya tanpa usul periksa tawaran berkenaan terlebih dahulu.

Beliau juga kecewa dengan tuduhan terhadap dirinya dan kerajaan Pusat oleh Kon Yeow dan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkaitan Program Imunisasi Vaksin Kebangsaan Covid-19 yang sedang dilaksanakan.

Jelas Khairy, sejurus selepas ketua menteri memaklumkan mengenai kesediaan syarikat terbabit menawarkan dua juta dos vaksin kepada Pulau Pinang dan bayaran akan ditanggung serta dilunaskan sendiri kepada syarikat Sinovac, beliu meminta pegawainya segera menyiasat.

Menteri itu kemudian menjelaskan, tidak ada apa-apa bukti atau dokumen mahu pun permohonan yang diterima dari mana-mana wakil syarikat tersebut mengenai tawaran menderma bekalan dua juta vaksin.

Mengulas lanjut, Hanif berkata, tindak tanduk ketua menteri itu jelas menimbulkan persoalan mengapa beliau begitu beria-ia mempertahankan syarikat yang tidak wujud itu.

“Jikapun ini menjadi cubaan DAP untuk meraih perhatian politik dengan mencipta pertembungan acah-acah dengan Kerajaan Persekutuan, namun jaminan kesihatan dan keselamatan rakyat tidak harus sama sekali diperjudikan.

“Isu ini juga menunjukkan sikap gopoh kerajaan Pulau Pinang dan integriti yang dipersoalkan, kerana begitu teruja dengan tawaran tanpa disahihkan kewujudan individu dan syarikat tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: