HARAKAH DAILY
KUALA LUMPUR: Tabung #Aid4Palestine telah berjaya
membuat kutipan berjumlah RM6,521,554 yang diisytiharkan pihak
sekretariatnya setakat kutipan hingga hari keenam semalam yang diumumkan
jam 9 pagi ini.
Jumlah tersebut direkodkan daripada akaun
mewakili semua PAS Negeri dan Dewan serta entitinya iaitu sebanyak
RM5,001,924, juga gabungan 124 Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersama
#Aid4Palestin berjumlah RM1,519,612.
PAS Negeri Kedah masih
menjadi penyumbang terbesar setakat ini dengan jumlah RM1,571,363 dan
masih melangsungkan kutipan walaupun telah melakukan serahan rasmi dalam
satu majlis di Alor Setar, semalam.
Ini diikuti PAS Terengganu
sebanyak RM1,521,235 dan PAS Pahang (RM530,579), PAS Johor (RM187,974),
PAS Pulau Pinang (RM141,600), PAS Melaka (RM60,000), PAS Wilayah
Persekutuan (RM58,950), PAS Selangor (RM58,810), PAS Negeri Sembilan
(RM42,011) dan PAS Sarawak (RM41,010).
PAS Perlis (RM28,016) dan
PAS Sabah (RM15,965) serta Dewan Pemuda PAS (RM120,000) dan Dewan
Muslimat PAS (RM54,000), manakala PAS Negeri Perak dan PAS Kelantan
serta Dewan Ulamak PAS masih menggerakkan kutipan sebelum memuktamadkan
jumlah rasmi untuk diumumkan kemudian.
Kutipan yang masih
berlangsung ini juga menerima sumbangan terus ke akaun PASRelief
berjumlah RM570,411 setakat semalam dan uniknya juga kempen kali ini
mendapat sambutan hangat menerusi pemberian aset-aset oleh beberapa
individu untuk dibuka bidaan bagi sumbangan sepenuhnya kepada Tabung
#Aid4Palestine.
Manakala gabungan di bawah #Aid4Palestin yang
bermula dengan 42 NGO meningkat mendadak kepada 124 NGO setakat petang
semalam dan mensasarkan kutipan sumbangan terkumpul sebanyak RM2 juta.
Kempen
dan penubuhan Sekretariat #Aid4Palestine ini telah diumumkan oleh Duta
Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi
Awang yang juga Presiden PAS pada 12 Mei lalu.
Dipengerusikan
Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, #Aid4Palestine adalah bagi mengambil
tindakan proaktif dan segera membantu perjuangan Palestin menerusi
kempen kesedaran dan penyelarasan kutipan dana melalui kaedah ‘crowfunding‘.
“Intifada
di bumi Palestin adalah lambang kesatuan dan kebangkitan umat Islam
seluruhnya melangkaui batas sempadan negara dan perbezaan mazhab, demi
membela keadilan dan hak rakyat Palestin,” ujar Tuan Guru Abdul Hadi.
Katanya,
selain daripada terus berdoa dan memberikan tekanan kepada rejim Israel
melalui pelbagai cara, umat Islam juga boleh membantu perjuangan rakyat
Palestin dengan cara memberikan infaq dan sumbangan.
Beliau
meletakkan sasaran awal kutipan RM1 juta sebelum 30 Syawal, bagaimanapun
menerima sambutan memberangsangkan setakat ini sekali gus sekretariat
telah mengubah sasaran kepada RM10 juta.
Timbalan Pengerusi II
#Aid4Palestine, Ustaz Mohd Yusni Md Piah berkata, antara menjadi
perhatian adalah sumbangan tinggi yang diberikan dari daerah dikenali
dengan kemiskinannya iaitu dari PAS Kawasan Baling.
Menurut
beliau, walaupun majoriti penduduk daerah tersebut adalah dalam kalangan
penoreh getah, pengait kelapa sawit, pesawah padi dan nelayan sungai,
tetapi menjadi penyumbang terbesar dengan jumlah hampir RM200,000
setakat kelmarin.
“Malah, rata-rata majoriti orang PAS secara
umumnya bukan orang kaya atau mempunyai gaji tetap. Lebih-lebih lagi
daerah seperti Baling dan Sik serta banyak daerah seumpama di seluruh
negara yang sepertinya.
“Tetapi mengapa mereka sanggup
mengeluarkan wang sebanyak itu yang kita faham sebenarnya mereka sendiri
lebih memerlukan? Inilah petunjuk semangat perjuangan Islam yang
berasaskan akidah, keyakinan iman, amal ibadah dan persaudaraan.
“Ahli-ahli
dan pimpinan PAS menerima tarbiyah, setidak-tidaknya memahami bahawa
sumbangan itu adalah amal jariah untuk kehidupannya yang abadi di syurga
selepas hitungan Padang Mahsyar.
“Keyakinan kami juga dengan
sumbangan ini adalah kekuatan dan satu bentuk bantuan untuk saudara
seagama di Palestin sabar menghadapi ujian dahsyat ini serta mereka
mampu suatu hari nanti mengalahkan Zionis Israel yang serba lengkap
peralatannya.
“Perkara ini bukan keyakinan kosong, tetapi dari
keteguhan iman dari suntikan hadis-hadis Nabi S.A.W yang menyatakan
janji Allah mengenai Palestin di akhir zaman,” ujarnya yang juga
Pengarah Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief).
Beliau terus menyeru agar sumbangan dibuat menerusi akaun Maybank 5640 7061 4481 (Tabung Kemanusiaan PASRelief) atau https://pasrelief.onpay.my/order/form/gaza dengan rujukan ‘Aid4Palestine’.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi talian ‘hotline’ 011-2077 5802 atau layari Facebook rasmi PASRelief di https://web.facebook.com/pasrelieff. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan