HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Mei 2021

Kedah sasar RM500,000 fasa kedua bantu Palestin

HARAKAH DAILY
 

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah menyasarkan sekurang-kurangnya RM500,000 dikumpulkan untuk sumbangan Aid4Palestine bagi fasa kedua yang bermula hari ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, fasa kedua dilaksanakan pendekatan sumbangan daripada anak-anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC), wakil-wakil rakyat dan lain-lain pihak.

“Saya yakin atas kesedaran persaudaraan atas nama aqidah dan kemanusiaan perkara itu boleh dilaksana di samping sumbangan juga akan diusahakan melalui syarikat-syarikat persendirian,” katanya pada majlis Penyerahan Sumbangan Dana Aid4Palestine secara di atas talian semalam.

Pada majlis itu Sanusi mengumumkan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM200,000 untuk fasa pertama.

Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Kedah yang begitu prihatin membantu penduduk di Palestin yang menjadi mangsa keganasan zionis Israel.

Bagaimanapun Sanusi kesal segelintir pihak yang cuma bersikap ‘nakal’ apabila menyifatkan tindakan kerajaan membantu rakyat Palestin seolah-olah ‘kera di hutan disusukan, anak di riba mati kelaparan’.

“Suara nakal patut memahami bantuan kemanusiaan terhadap saudara kita yang ditindas, dizalimi serta dibunuh, bukan bererti mereka itu kera.

“Menyamakan mereka dengan kera di hutan samalah mengkerakan diri sendiri yang tak peduli kesusahan dan penderitaan orang lain.

“Kita perlu memberi pertolongan kepada orang lain sebagai tanggungjawab seakidah atau atas dasar kemanusiaan. Apatah lagi rakyat Palestin dizalimi sejak 73 tahun lalu,” ujar beliau.

Malah katanya ramai keluarga di Palestin yang kehilangan ayah, suami, ahli keluarga dan kediaman akibat kezaliman zionis Israel sejak 1948.

Menurutnya umat Islam di Palestin tidak ada lagi tempat bergantung untuk diharapkan.

“Mereka tiada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pusat Khidmat Wakil Rakyat, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Lembaga Zakat atau Baitul Mal seperti di tempat kita,” sambungnya.

Kata beliau juga bantuan diberi tumpuan bagi memulihkan sektor kesihatan, keperluan asas, makanan dan perlindungan terutama kepada anak-anak yatim, ibu tunggal yang hilang tempat bergantung.

Sanusi turut mengucap terima kasih kepada Duta Palestin ke Malaysia di atas penghargaannya kepada kerajaan Kedah kerana prihatin terhadap penderitaan rakyat di Palestin. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: