HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Mei 2021

Tabung Kemanusiaan PASRelief Palestin kumpul RM12.1 juta

KUALA LUMPUR: Tabung Kemanusiaan PASRelief mengumpul sebanyak RM12.1 juta sumbangan untuk disalurkan kepada #Aid4Palestine.

Sumbangan itu dikumpul daripada pimpinan PAS, ahli dan orang ramai di setiap negeri dengan kutipan tertinggi oleh PAS Terengganu berjumlah RM3.7 juta.

Pengerusi PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya mengumpul sumbangan sebanyak RM12.1 juta hanya dalam tempoh 10 hari, hasil kreativiti PAS negeri untuk memastikan rakyat Palestin mendapatkan bantuan sewajarnya.

Katanya, banyak usaha yang dijalankan pimpinan PAS negeri dalam mengumpulkan dana itu termasuk ada yang menjual kereta, motosikal, ternakan, keris pusaka dan pelbagai barangan peribadi.

"Justeru, kita yakin usaha berterusan daripada pimpinan PAS dan orang ramai untuk membantu, kita akan dapat mengumpulkan sumbangan sehingga mencecah RM20 juta menjelang penghujung Syawal ini," katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Palestin daripada PAS Negeri dan Dewan PAS kepada Tabung Kemanusiaan PASRelief menerusi siaran langsung di saluran sosial media rasmi PAS di Facebook hari ini.

Sementara itu, Pengerusi #Aid4Palestine, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata sasaran sumbangan pihaknya sebelum ini adalah sebanyak RM1 juta sepanjang tempoh Syawal ini.

Namun, katanya, jumlah sumbangan yang diterima ini amat luar biasa sekali gus menunjukkan rakyat Malaysia turut berjihad dalam usaha membantu rakyat Palestine yang memerlukan bantuan ketika ini.

"Kita akan memastikan sumbangan ini sampai kepada mereka menerusi duta yang dilantik," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sumbangan itu diharap dapat membantu meringankan beban rakyat Palestine yang teraniaya ketika ini.

Katanya, ia juga diharap dapat digunakan bagi membangunkan semula bangunan yang musnah terutama kediaman dan pusat kesihatan serta untuk kebajikan terutama anak-anak Palestine yang menjadi mangsa keganasan.

"Terima kasih kepada semua pihak yang berjaya menggerakkan usaha mengumpulkan dana ini sehingga berjaya memperoleh kutipan yang di luar jangkaan. Kita yakin sumbangan ini menunjukkan rakyat Malaysia peka dan tidak mampu duduk diam dengan isu yang menimpa rakan Palestin," katanya.

Tiada ulasan: