Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
PETALING JAYA: Adalah tidak adil sekiranya memalitkan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan UMNO berkenaan dasar berkaitan pengurusan pandemik Covid-19 negara ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun terdapat beberapa ahli Parlimen UMNO menganggotai Kerajaan PN, namun ia tidak bermakna parti itu terlibat dalam menentukan dasar-dasar negara.
“Segala ketetapan untuk negara sebaliknya dibuat sepenuhnya oleh Kerajaan PN. Ini termasuk dasar-dasar berkait pengurusan pandemik Covid-19 di negara ini.
“Penentuan dasar negara malah menjadi hak mutlak Kerajaan PN sejak Ordinan Darurat dilaksanakan. Iaitu tatkala institusi Parlimen digantung atas sebab-sebab yang masih dimusykilkan.
“Justeru tidak patut ada pihak cuba ‘menjebak’ parti UMNO dengan kegagalan Kerajaan PN menangani penularan Covid-19. Adalah tidak adil apa sahaja kegagalan Kerajaan PN cuba dikaitkan dengan UMNO gara-gara beberapa ahli Parlimennya menerima tawaran menganggotai Kerajaan PN,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan, namun perkara itu tidaklah pula bermaksud UMNO tidak mempedulikan nasib rakyat memandangkan banyak pandangan UMNO ditujukan kepada kerajaan melalui platform tertentu dan bukannya Parlimen sebelum ini.
“Malangnya kebanyakan pandangan dan nasihat tentang Covid-19 itu kurang diberi perhatian. Mengapa jadi begitu saya fikir semua boleh mengandaikan sebabnya.
“Apapun kita terus berdoa yang baik-baik untuk rakyat dan negara dalam berdepan ancaman Covid-19,” katanya. UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan