HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Disember 2021

Exco Kedah terharu lihat kesan banjir di Padang Jawa

Oleh SARINA ISMAIL
 


SHAH ALAM:
Dewan Muslimat PAS Kedah dengan kerjasama muslimat tempatan bermotosikal menjejaki kawasan banjir di Kampung Padang Jawa dekat sini.

Ketuanya Dato’ Siti Ashah Ghazali berkata, beberapa rumah yang menjadi mangsa banjir dilawati delegasi dari Kedah pada hari pertama sampai di Shah Alam hari ini.

Katanya, mereka juga menyampaikan sumbangan termasuk air minuman, telekung, kain batik, kain pelikat, lampin pakai buang bayi, kain selimut, pek makanan dan wang tunai kepada mangsa banjir terlibat.

“Di samping itu kami juga meninjau keperluan-keperluan lain yang diperlukan penduduk tempatan.

“Kami melawat beberapa rumah mangsa banjir di Kampung Padang Jawa, dan menyampaikan sumbangan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Siti Ashah yang juga anggota Exco kerajaan Kedah berkata, mangsa banjir yang diuji Allah dengan musibah itu hendaklah banyak bersabar.

“Saya juga turut tersentuh melihat kesan-kesan banjir dengan kerosakan yang teruk,” ujarnya.

Rombongan Dewan Muslimat PAS Kedah turut menyediakan makanan untuk mangsa banjir dan petugas di Markas Operasi Banjir PAS Shah Alam dan bersama sukarelawan Dapur Rakyat.

Difahamkan delegasi Dewan Muslimat PAS Kedah akan ke Pahang meninjau situasi banjir di negeri itu. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: