HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Disember 2021

Wanita PN Perak sertai misi bantuan banjir

HARAKAH DAILY
 

IPOH: Wanita Perikatan Nasional (PN) Negeri Perak menyertai fasa pertama Misi Bantuan Banjir ke Selangor bagi membantu operasi penyampaian sumbangan dan pembersihan serta menyantuni mangsa di negeri itu, semalam.

Ahli Jawatankuasa Wanita PN Perak, Hanisah Hamidon berkata, misi ini dilaksanakan untuk menyantuni mangsa-mangsa banjir khususnya golongan wanita, sekali gus menyampaikan bantuan barangan keperluan khusus buat mereka. 

Katanya, dalam situasi ini mangsa bukan sahaja kehilangan harta benda, malah turut kehilangan semangat dan sebahagian besarnya pasti memerlukan ruang masa untuk redha dengan musibah yang melanda. 

“(Oleh itu) pihak kami usahakan untuk menjayakan misi ini (dengan) menghantar wakil Wanita PN Perak menyantuni mangsa. Bilangan petugas yang sertai misi ini agak terhad bagi mengelakkan berlakunya perlanggaran SOP di sana (nanti). 

“Selain bantuan berbentuk barangan asas, mereka (mangsa banjir) juga memerlukan sokongan untuk meluahkan apa yang mereka telah hadapi. Semoga dengan kehadiran Wanita PN Perak ini dapat sedikit sebanyak meringankan keresahan mereka alami kini,” ulasnya.

Maklumnya, Wanita PN Perak juga dalam perancangan menyusun para petugas wanita dan sukarelawan mewakili PAS dan Bersatu untuk persediaan menyertai misi bantuan dalam fasa seterusnya khususnya. 

Tambahnya lagi, kebersamaan semua pihak tidak kira mana-mana parti politik, mahupun masyarakat awam amat penting sebagai bukti kesatuan rakyat Malaysia dalam menyuburkan nilai tolong-menolong antara satu sama lain. 

“Tidak kira kita mampu beri bantuan dengan kadar besar mahupun kecil, yang penting kita perlu ada semangat dan usaha untuk membantu mereka yang memerlukan. Inilah yang Islam anjurkan kepada umatnya (iaitu) saling tolong-menolong dalam melakukan kebaikan,” pesannya.

Pimpinan Wanita PN Perak yang turut hadir ketika majlis pelepasan itu ialah Ketua Wanita, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Naib Ketua Wanita, Puteri Holijah Muhamad Rali serta Ahli Jawatankuasa Wanita, Yusmaliza Yusof. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: