MALAYSIA POST
KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menegur sikap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Tan Sri Noh Omar berhubung isu perebutan jawatan susulan banjir besar yang melanda negeri berkenaan, baru-baru ini.
Teguran itu susulan tindakan kedua belah pihak yang didakwa bertelagah berhubung jawatan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor.
Menurut Wan Saiful, situasi berebut jawatan antara kedua-dua individu itu sangat menjengkelkan selain menasihati ahli politik supaya berhenti membawa ‘perangai lama’.
“Cukup menjengkelkan apabila seorang Menteri Persekutuan dan seorang Menteri Besar dari negeri yang sama bertelagah mengenai siapa jadi Pengerusi.
“Agak-agak, rakyat peduli ke siapa Pengerusi? Apa faedah berebut jawatan kalau masalah rakyat masih belum selesai?
“Cuba ambil contoh dari sebegitu banyak NGO dan orang awam yang berterusan membantu rakyat,” katanya menerusi Facebook.
Menurut Wan Saiful, sepanjang beliau turun padang membantu mangsa banjir beliau bertemu dengan pelbagai pihak termasuk NGO dan parti politik yang bertungkus lumus menghulur bantuan, namun isu siapa menjadi ketua tidak timbul.
“Saya sendiri nampak team Ustaz Ebit Liew, team dari Naelofar, team dari Dana Kita, Unit Amal PAS, Skuad Prihatin BERSATU, sukarelawan parti MUDA, persatuan penduduk, dan banyak lagi NGO yang bertungkus lumus bekerja.
“Tak ada seorang pun di kalangan kami bertelagah siapa nak jadi ketua. Kita semua saling bantu membantu untuk buat kerja. Yang penting, ada beribu-ribu rumah perlu dibersihkan segera. Itu tumpuan kita,” katanya.
Beliau berkata, ahli politik yang membawa ‘perangai lama’ hanya akan membangkitkan kemarahan rakyat dan memburukkan situasi.
“Dalam waktu begini, saya nasihatkan orang politik yang bawa ‘perangai lama’ ni supaya sudah sudah lah. Lagi kamu tunjuk perangai, lagi rakyat marah.
“Dan disebabkan kamu tamak berebut jawatan, habis semua orang politik tercemar sama. Padahal yang perangai buruk kamu saja. Kami yang lain ni nak buat khidmat, tapi terpalit sebab perangai kamu,” katanya.
Justeru, Wan Saiful menasihatkan semua pihak supaya bermuafakat dalam mengahdapai isu bencana alam berkenaan.
“Jangan disebabkan ‘perangai lama’ kamu, nama semua orang rosak. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Bermuafakatlah. Rakyat mahu kita buat yang terbaik untuk mereka,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, Noh memaklumkan beliau masih lagi Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor dan menafikan dakwaan Amirudin Shari bahawa jawatan tersebut telah bertukar tangan.
Noh berkata, apa yang dilakukan Amirudin adalah cubaan untuk lepas tangan dari tanggungjawab dan tidak memahami tugasnya yang sebenar. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan