Oleh DATUK DR.MARZUKI MOHAMAD
TAN Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) pada 4 Disember 2021 menyebut tentang kelemahan sistem parti dominan.
Antaranya ialah pemusatan kuasa kepada pemimpin parti yang mendominasi kerajaan sehingga menyebabkan tiadanya semak dan imbang yang mencukupi untuk membasmi amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran undang-undang dalam kalangan elit penguasa.
Menurut Muhyiddin, Malaysia antara negara yang dikategorikan sebagai negara yang mengamalkan sistem parti dominan yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) sehinggalah parti itu tewas dalam Pilihanraya Umum Ke-14.
Ucapan Muhyiddin pastinya tidak disenangi oleh pihak dalam BN. Antaranya Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, Naib Presiden UMNO. Beliau mendakwa Muhyiddin keliru.
Bagi saya, Tan Sri Muhyiddin tidak keliru.
Sistem parti dominan yang menyebabkan pemusatan kuasa kepada individu yang memimpin parti telah diulas oleh ramai sarjana. Antaranya In-Won Hwang dalam bukunya Personalized Politics: The Malaysian State Under Mahathir.
Beliau telah mengulas secara terperinci bagaimana dominasi UMNO telah membawa kepada dominasi peribadi (personal dominance) Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin parti dan kerajaan sepanjang 22 tahun pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri Ke-4.
Dalam keadaan ini, insitutusi-institusi negara menjadi lemah secara sistemik apabila kuasa semakin berpusat kepada seorang individu.
Walau bagaimanapun, In-Won Hwang dalam bukunya juga telah menyentuh mengenai kemunculan politik baharu yang mencabar kedudukan UMNO sebagai parti dominan sejak akhir tahun 1990-an. Ini termasuk perpecahan di dalam UMNO, kebangkitan masyarakat sivil, kesedaran multi-etnik dan kekecewaan (disenchantment) terhadap elit UMNO secara umum.
Buku ini diterbitkan pada tahun 2003. Pada masa itu UMNO masih mendominasi politik Malaysia. Malah, PRU-11 yang diadakan pada tahun 2004 menyaksikan kemenangan besar UMNO dan BN sebagai parti dominan.
Namun, peristiwa yang berlaku 15 tahun selepas buku ini diterbitkan memperlihatkan UMNO sebagai parti dominan akhirnya terpaksa tunduk kepada faktor-faktor yang mencabar dominasinya seperti yang disebut oleh In-Wong Hwang di dalam bukunya.
UMNO/BN yang sentiasa mendapat majoriti 2/3 dalam setiap Pilihanraya Umum (kecuali Pilihanraya Umum 1969) telah kehilangan majoriti 2/3 dalam PRU-12 pada tahun 2008. Seterusnya, dalam PRU-13 pada tahun 2013 UMNO/BN bukan sahaja kehilangan majoriti 2/3 malah gagal memperolehi undi popular. Akhirnya, parti itu tewas dalam PRU-14 pada tahun 2018.
Tiada siapa yang menduga UMNO/BN sebagai parti dominan selama lebih enam dekad boleh tewas termasuk di Johor iaitu negeri kubu kuat parti itu sendiri. Khaled yang juga merupakan Pengerusi BN Johor pada ketika itu tewas di kedua-dua kerusi DUN dan Parlimen yang ditandinginya.
Adakah Muhyiddin keliru apabila beliau menyebut tentang berakhirnya era parti dominan? Tidak. Beliau tidak keliru. Itu fakta.
Malah, Muhyiddin sepanjang menjadi Timbalan Presiden UMNO dari tahun 2009 hingga 2016 telah berkali-kali mengingatkan UMNO akan bahana yang akan menimpa parti itu jika mindset parti dominan yang angkuh, bongkak, sombong dan rakus kuasa tidak dihakis.
Malangnya, ingatan demi ingatan ini bagaikan mencurah air di daun keladi. Tidak ada apa-apa kesan. Tatkala skandal 1MDB menjadi bahan ketawa di seluruh dunia, UMNO masih yakin dapat memenangi PRU-14 dengan majoriti 2/3. Cash is King katanya.
Seolahnya, dana negara berjumlah RM42 bilion yang hilang begitu sahaja tidak menjadi isu besar. Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mengeluarkan laporan terperinci mengenai money trail wang 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun beberapa syarikat luar pesisir yang diragui dan kemudiannya dipindahkan ke dalam akaun orang-orang tertentu.
Wang 1MDB berjumlah berbilion ringgit telah digunakan oleh orang-orang ini untuk membeli hartanah di luar negara, kapal layar mewah, jet peribadi, lukisan mahal dan menaja pembikinan filem hollywood. Sejumlah RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun “Malaysian Official 1”.
Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut atau menyegarkan semula ingatan mengenai isu 1MDB, boleh baca laporan lengkap DOJ di sini https://www.justice.gov/opa/press-release/file/973671/download
Skandal terbesar dalam sejarah dunia ini berlaku semasa Malaysia diterajui oleh sebuah parti dominan. Mungkin dominasi parti dalam sistem politik dan kerajaan membuatkan sesetengah orang dalam parti itu berfikir mereka kebal. Mereka tidak boleh ditegur. Jadi mereka boleh buat apa sahaja tanpa rasa takut walaupun salah.
Tidak mengapalah. Apa pun mereka nak fikir itu hak mereka. Saya tidak ada apa-apa hak untuk komen tentang apa yang mereka fikir.
Tetapi saya nak sebut hal fakta. Akhirnya, oleh kerana mindset parti dominan yang menebal dalam UMNO, parti itu dihukum oleh rakyat dalam PRU-14. Sebuah parti dominan tewas dalam pilihanraya. Ini sejarah. Ini fakta. Tidak boleh sesiapapun keliru dengan fakta ini.
Bagi sesiapa yang meneliti politik Malaysia secara lebih mendalam, sebab kekalahan UMNO dalam PRU-14 tidak bermula sehari dua. Geraf sokongan kepada UMNO telah menurun sejak PRU-12 lagi.
Mengapa hal ini terjadi?
Sejak dua dekad yang lalu, landskap politik Malaysia telah berubah. Rakyat semakin celik pengetahuan, celik maklumat. Revolusi teknologi maklumat menyebabkan rakyat tidak lagi menerima maklumat hanya daripada sumber yang dikawal oleh kerajaan. Government no longer monopolizes information.
Rakyat juga semakin terdedah dengan nilai-nilai good governance, integriti, ketelusan dan demokrasi khususnya bagi golongan muda, kelas menengah dan masyarakat urban.
Gerakan masyarakat sivil juga menjadi semakin aktif. Mereka menjadi suara dan jurubicara rakyat dalam hal-hal yang berkaitan dengan isu integriti, anti-rasuah dan hak asasi.
Jadi, isu-isu yang berkaitan dengan penyelewengan, rasuah, salahguna kuasa – apa lagi jika ia melibatkan berbilion wang awam – mudah terdedah dan mendapat kritikan daripada rakyat.
Kegagalan UMNO pada waktu itu untuk segera respon kepada perubahan nilai yang didokong oleh majoriti rakyat menyebabkan kekecewaan rakyat bertambah. Lama kelamaan, kekecewaan (disenchantment) kepada elit penguasa daripada parti dominan iaitu UMNO menjadi semakin meluap-luap dan akhirnya meletup (explode) dalam PRU-14.
Maka, seperti yang disebut oleh Muhyiddin, berakhirlah era parti dominan di Malaysia.
Saya tidak fikir Muhyiddin keliru kerana itu adalah fakta. Beliau juga berada right smack at the center of all episodes leading to the downfall of UMNO as a dominant party. Tidak mungkin beliau keliru.
UMNO selepas itu menjadi pembangkang untuk tempoh 22 bulan. Tetapi parti itu kembali semula dalam kerajaan apabila kerajaan Perikatan Nasional dibentuk pada bulan Mac 2020.
Kali ini, UMNO berada dalam kerajaan bukan sebagai parti dominan. Perdana Menteri bukan daripada UMNO.
UMNO hanyalah satu daripada parti yang berada dalam sebuah kerajaan gabungan (coalition government) bersama-sama Bersatu, Pas, GPS dan PBS. Ini satu eksperimen baharu kepada UMNO. Parti itu berada dalam kerajaan tetapi tidak mendominasi keputusan dan tindakan yang dibuat oleh kerajaan.
Kuasa tidak berpusat kepada individu pemimpin parti UMNO. Buat pertama kali dalam sejarah UMNO berada dalam kerajaan, Presiden UMNO tidak menjadi Perdana Menteri.
Pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri tidak ditentukan oleh Presiden UMNO. Pelantikan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah GLC dan Badan Berkanun juga tidak ditentukan oleh Presiden UMNO. Pelantikan senator, ketua kampung dan JKKK pun perlu dirunding dengan parti-parti lain.
Keadaan ini amat canggung bagi UMNO. Talian hayat UMNO dan pemimpinnya yang banyak bergantung kepada keupayaan untuk melaksanakan naungan politik (dispensing of political patronage) tidak dapat dibuat sepenuhnya apabila Perdana Menteri tidak datang daripada parti itu.
Institusi-instusi utama negara yang bisanya dikawal oleh Presiden UMNO selaku Perdana Menteri juga berada di luar kawalannya.
UMNO ternyata amat kekok dengan hakikat ini. Mentaliti parti dominan masih menebal dalam UMNO. Parti itu tidak cocok sekadar menjadi rakan dalam kerajaan gabungan. Ia mesti jadi boss dengan kuasa yang dominan.
Kerana itu idea Muafakat Nasional yang menggabungkan UMNO, Pas dan Bersatu menemui jalan buntu. Walaupun Pas beria-ia mahu supaya Bersatu menjadi sebahagian daripada MN, UMNO bermati-matian menentang. Mungkin UMNO merasakan Pas dan Bersatu boleh membentuk satu blok politik yang ampuh dalam MN dan dengan itu menghalang dominasi UMNO dalam MN. Boleh jadi kerana itu idea gabungan tiga parti Melayu-Islam dalam MN ditolak oleh UMNO.
Kerana itu juga, dalam tempoh 17 bulan UMNO berada di bawah Kerajaan Perikatan Nasional, parti itu melakukan pelbagai perkara yang tidak masuk akal. Menteri-Menteri UMNO berada dalam kabinet, Ahli-Ahli Parlimen UMNO dilantik mengetuai GLC dan Badan Berkanun, tetapi MT UMNO membuat keputusan-keputusan seolah-olah UMNO adalah parti pembangkang.
Bahkan Presiden UMNO dan Penasihat BN menjadi de facto opposition leader. Suara Ketua Pembangkang tenggelam dalam riuk pikuk suara Presiden UMNO dan Penasihat BN yang mendakwa PN sebagai kerajaan gagal.
Keadaan ini berlarutan sehinggalah 15 Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri dan jatuhlah Kerajaan Perikatan Nasional. Apabila Perdana Menteri daripada UMNO dilantik, maka tiba-tiba hilang mantra kerajaan gagal.
Tetapi kecanggungan politik UMNO masih belum berakhir. Perdana Menteri yang dilantik bukan Presiden UMNO. UMNO sebagai bekas parti dominan tidak biasa dengan keadaan ini. Pemusatan kuasa mesti berlaku pada Presiden UMNO, bukan Timbalan Presiden, bukan Naib Presiden, bukan orang lain. Dalam sistem parti dominan yang diamalkan oleh UMNO sebelum ini, Presiden UMNO bukan the first among the equals but the first who broke no equals.
Kerana itulah barangkali Khaled Nordin menyebut dengan begitu yakin bahawa UMNO akan kembali menjadi parti dominan. Saya tidak begitu pasti sama ada majoriti pengundi telah bersedia untuk mengembalikan semula dominasi sebuah parti politik dalam kerajaan Malaysia. Mungkin ya, mungkin tidak. Kalau tanya saya, dengan apa yang berlaku pada masa lalu, saya kata tidak. Apapun, terserahlah kepada pilihan pengundi.
(*) Penulis adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan