HALAMAN SANTAI

Sabtu, 18 Disember 2021

Perwakilan Puteri mahu pemilihan Umno selepas PRU15

 MALAYSIA POST

Perwakilan Puteri mahu pemilihan Umno selepas PRU15

SEBANYAK 171 bahagian Puteri Umno di seluruh negara mahu jentera parti dipimpin dan difokuskan ke arah gerak kerja memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai agenda utama dan hanya mengadakan pemilihan parti selepas itu.

Ia adalah usul utama dibawa perwakilan bagi memastikan seluruh jentera dan kepimpinan parti memberi fokus 100% kepada agenda membela rakyat dan menjadi suara rakyat menjelang PRU15 nanti.

Setiausaha Puteri Umno, Asuma Beevi Mohamed Sali berkata ketidakstabilan parti menuju PRU15 selepas pemilihan akan memberi impak negatif jangka panjang kepada parti dan rakyat.

“Usul kedua yang disokong sebulat suara oleh para perwakilan yang bersidang tempoh hari adalah memastikan wanita muda dinamakan sebagai calon pilihan raya demi memperkasa dan menaiktaraf kedudukan golongan muda dalam parti.

“Pentas politik negara dan dunia hari ini memerlukan golongan intelektual muda, idealistik, berfikiran jauh, berdaya saing selari peredaran masa dan mampu bersuara mewakili golongan muda untuk berada dalam dewan pembuat dasar.

“Strategi berani dan bernas oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di PRN Melaka yang mengetengahkan lebih ramai calon muda dan muka baharu jelas mendapat sokongan apabila dipilih menjadi wakil rakyat,” katanya menerusi kenyataan.

Asuma Beevi berkata usul ketiga dibawa suara majoriti perwakilan adalah mendesak agar kerajaan memperkasakan wanita dan memberi ruang seluas-luasnya kepada wanita dalam penggubalan dasar negara.

Beliau berkata, semua usul itu akan diperhalusi dan dibahas dalam Persidangan Agung Umno Pergerakan Puteri bagi mendapatkan mandat perwakilan seterusnya dimuktamadkan oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno. – Malaysiapost

Tiada ulasan: