Afiezul Samit

Hapeni Fadil akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan. - Gambar/ Astro AWANI
KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menambah seorang lagi calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Presiden
PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata calon tersebut ialah Hapeni
Fadil yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kerusi yang ditandingi PKR sebanyak 28 kerusi.
"Atas
permintaan masyarakat tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO) di
kawasan berkenaan (Simunjan), PKR Sarawak membuat keputusan untuk
menambah seorang lagi calon yang berpotensi untuk bertanding," katanya
ketika sesi perjumpaan Presiden PKR bersama media di pejabat PKR Kuching
pada Jumaat.
Ujarnya walaupun ada
perbincangan dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) untuk PKR
bertanding di Senadin dan Piasau, namun semangat kerjasama PH dikekalkan
untuk memastikan tiada pertindihan calon.
Anwar
turut menjelaskan bahawa pengurangan jumlah kerusi daripada sasaran 47
menjadi 28 bukan bermakna memberi ruang kepada parti lawan.
"Kita kena fokus kepada kawasan yang mempunyai jentera dan kekuatan.
"Keutamaan
kita sedemikian. Tidak benar kita memberi laluan kepada Gabungan Parti
Sarawak (GPS) kerana terdapat parti pembangkang lain yang bertanding di
situ.
"Kita tidak mahu bolot di kawasan-kawasan yang kita tidak mempunyai cukup kekuatan," ujarnya.
Terdahulu,
PKR Sarawak mengumumkan akan bertanding di 27 kerusi dan Hapeni Fadil
menjadi calon yang ke 28 yang telah dimuktamadkan.
Parti komponen PH yang lain iaitu DAP pula bertanding di 26 kerusi manakala Amanah (sembilan).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan