HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Disember 2021

Putra gesa PM ganti Menteri proaktif urus bencana

MALAYSIA POST

Putra gesa PM ganti Menteri proaktif urus bencana

PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggantikan individu yang lebih proaktif sebagai Menteri bagi menangani isu bencana di negara ini.

Ketua Penerangannya Ashraf Rosli, berkata pihaknya kecewa dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad yang menjaga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berhubung isu banjir besar, baru-baru ini.

Katanya, sebagai seorang Menteri yang berpengalaman dan sudah enam penggal menjadi wakil rakyat, beliau sepatutnya tahu dan faham apakah tugasan dan fungsi portfolio yang dipegangnya.

“Bencana banjir ini bukanlah sesuatu yang baru, sepatutnya beliau memastikan NADMA sentiasa bersiap sedia menghadapai apa sahaja ancaman termasuk banjir yang sentiasa berlaku pada tiap hujung tahun.

“Kelewatan mengurus bencana banjir kali ini satu perkara yang amat memalukan. Menteri tidak perlu menyatakan ‘Apakah solusinya?’ dengan kenyataan tersebut cukup melayakkan beliau letak jawatan kerana sudah ketandusan idea,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Putra kesal apabila aset-aset strategik kepunyaan NADMA tidak digunakan apabila perlu.

Katanya, kehilangan nyawa hampir 40 mangsa tidak sepatutnya berlaku jika pengarah koordinasi NADMA lebih peka dan bijak mengatur strategi menyelamat.

“Jika menteri tidak bijak sewajarnya beliau mengambil pandangan daripada mereka yang lebih bijak seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang begitu pantas dalam menjalankan misi menyelamatkan mangsa banjir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan kesiapsiagaan NADMA menghadapi bencana lebih besar berbanding banjir.

“Ini baru banjir, belum lagi kemarau atau kebakaran hutan secara besar-besaran, apatah lagi Tsunami. Adakah NADMA bersedia?,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: