HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Disember 2021

Rakyat jangan segan untuk kembali menyokong BN

MALAYSIA POST

Rakyat jangan segan untuk kembali menyokong BN

BARISAN Nasional (BN) perlu diberi peluang oleh rakyat untuk kembali sebagai teras pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
 
Beliau yang juga Presiden Umno, berkata selepas lebih tiga tahun berlalu sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kini Malaysia mempunyai sebab yang munasabah untuk meyakini BN.
 
Menurutnya, kerajaan BN adalah kerajaan paling berwibawa, berkemampuan dan berpengalaman untuk mentadbir dan membawa kemakmuran.
 
“Rakyat Melaka telah menjayakan misi itu pada 20 November lalu dan harapan seterusnya kini pada bahu rakyat di negeri-negeri lain.
 
“Seruan mengembalikan kemakmuran bersama kerajaan BN bukan retorik sebaliknya berdasarkan kebenaran yang disaksikan rakyat Malaysia sejak 9 Mei 2018,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
 
Beliau berkata, jika mahu disentuh secara terperinci segala fakta pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan dan Perikatan Nasional (PN) selama 17 bulan pasti panjang untuk disenaraikan, namun ia sebuah hakikat yang nyata.
 
“Rumusan terpenting mengenai segala-galanya adalah perjalanan negara sejak merdeka telah membuktikan kerajaan BN adalah kerajaan paling berkaliber.
 
“Paling berkaliber dalam memastikan pentadbiran ekonomi yang cemerlang, kestabilan yang terbilang dan kesejahteraan rakyat yang gemilang,” katanya.
 
Ahmad Zahid berkata, rakyat tidak perlu segan dan berasa malu untuk kembali menyokong BN kerana itu juga suatu jasa dan pengorbanan demi masa depan.
 
“Maka apabila tiba masanya kita bersama memastikan sejarah hitam PRU-14 tidak berulang dan mengembalikan sebuah kerajaan rakyat iaitu kerajaan BN,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: