MALAYSIA POST
TINDAKAN kerajaan melantik seorang lagi Penasihat Khas dilihat sebagai membuktikan Menteri sedia ada tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik dan wajar dipecat, kata Setiausaha Agung DAP,Lim Guan Eng.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, pelantikan penasihat berkenaan bukanlah percuma kerana setiap Penasihat Khas dibayar RM50,000 sebulan.
Menurutnya, tindakan berkenaan juga dilihat tidak sesuai ketika negara berdepan krisis kenaikan harga barang ketika ini.
“Di sana sini rancak lantik Penasihat Khas. Menteri tidur tidak buat kerja?
“Dah ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang). Tambah lagi Penasihat Undang-Undang. Dah ada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Tambah lagi Penasihat Khas Agama.
“Dah ada Menteri Kesihatan. Tambah lagi Penasihat Khas Kesihatan. Penasihat tu bukan percuma, setiap Penasihat Khas guna duit rakyat RM50,000 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menyindir mungkin dengan krisis kenaikan harga barang yang terburuk dalam sejarah sekarang, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menjadikannya alasan untuk melantik seorang lagi Penasihat Khas Inflasi pula.
“Sudah boleh pertimbangkan pecat saja Menteri-Menteri yang pegang portfolio yang sama tapi tidur tidak buat kerja.
“Duit gaji yang besar itu lebih baik duit tu diagihkan kepada rakyat,” katanya.
Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, dalam jawapan bertulis memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan dalam proses melantik Penasihat Khas Kesihatan kepada Perdana Menteri.
Beliau menjawab pertanyaan daripada Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah penasihat khas yang dilantik serta bidang kepakaran mereka serta kesan kewangan atas setiap lantikan terbabit.
Abdul Latiff berkata kos keseluruhan bagi setiap satu pejabat penasihat khas berkenaan ialah sebanyak RM50,000 sebulan. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan