NAJA
PENUBUHAN sayap baharu Bersatu, Srikandi Muda akan menjadi agenda utama perhimpunan agung tahunan parti itu, Sabtu ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penubuhan sayap Srikandi Muda yang memberi fokus kepada wanita berusia 35 tahun ke bawah itu melibatkan pindaan perlembagaan Bersatu yang bakal dimuktamadkan pada perhimpunan kali ini.
“Apabila diluluskan kita akan lantik (jawatankuasa) penaja bagi Srikandi Muda yang akan mula (berkhidmat) tahun hadapan,” katanya pada sidang media dipetik Sinar Harian hari ini.
Hamzah berkata, Bersatu mempunyai ahli wanita di bawah 35 tahun dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, menunjukkan ramai wanita muda yang menyokong perjuangan Bersatu.
Justeru, sayap khusus iaitu Srikandi Muda membolehkan fokus diberikan kepada golongan ini.
Menurutnya, Perhimpunan Agung Bersatu kali ini akan mencatat sejarah apabila anggota bukan Melayu terdiri daripada Ahli Jawatankuasa penaja sayap bersekutu Bersatu bakal hadir bersama.
Katanya, topik lain yang akan dibincangkan dalam perhimpunan agung tahunan kali keempat Bersatu ialah memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia dengan sikap terbuka.
“Ini supaya wujud landskap baharu dalam negara dengan semua rakyat Malaysia mempunyai kepentingan masing-masing dan tidak ada permusuhan kaum,” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah menjelaskan, seramai 1,600 perwakilan Bersatu dari seluruh negara dijangka menghadiri perhimpunan agung tahunan yang diadakan secara fizikal di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula Sabtu ini.
Hamzah berkata, perhimpunan yang berlangsung dua hari itu akan dimulakan dengan perasmian perhimpunan sayap-sayap parti iaitu Armada dan Srikandi oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Sabtu ini.
Katanya, ia diikuti perhimpunan agung parti dengan ucapan dasar Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin keesokan harinya.
Beliau berkata, Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu akan berlangsung dalam prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan perwakilan dikehendaki menjalani ujian saringan Covid-19 di rumah dan di lokasi perhimpunan. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan