HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Disember 2021

UMNO tekan Ismail Sabri, rancang letak Zahid sebagai PM lepas PRU15


Satu gerakan untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sedang dilakukan secara meluas oleh kepemimpinan tertinggi UMNO, dalam usaha mereka untuk memaksa beliau mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lebih awal.

Tindakan itu diambil susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November lalu, yang sekali gus memberi keyakinan kepada parti itu bahawa rakyat kembali menerima mereka.

Sumber-sumber yang rapat dengan anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO memberitahu Agenda Daily, gerakan itu menjadikan pelbagai isu semasa untuk menyerang Ismail Sabri, termasuk kenaikan harga barang, kemenangan ketika PRN Melaka, selain menuduh beliau yang juga Naib Presiden UMNO sebagai penyokong kuat Perikatan Nasional (PN).

Menurut sumber-sumber itu, jika diperhatikan sekarang ini, pemimpin tertinggi parti termasuk Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan Ketua Pemuda, Asyraf Wajdi Dusuki, dan Datuk Seri Najib Razak, memberi tekanan kepada Ismail Sabri dengan cara menyerang kementerian tertentu.

“Malah mereka menjadikan PN, khususnya Bersatu dan PAS, sebagai kambing hitam, apabila menyatakan kedua-dua parti itu menyusun gerakan untuk menaikkan semula Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Semakin dekat tempoh Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan terhadap rayuan Najib, dan semakin dekat juga Mahkamah Tinggi akan memutuskan sama ada Zahid akan dipanggil membela diri dalam kes rasuahnya, semakin hebat juga serangan dilakukan.

“Ianya bukan melibatkan kes mahkamah sahaja tetapi dalam banyak hal, termasuk kenaikan harga barang dijadikan alat untuk menyerang Naib Presiden UMNO, dan kerajaan PN sebelum itu,” kata sumber berkenaan.

Sumber itu berkata usaha juga dilakukan supaya Ismail Sabri menggantikan pemimpin PN yang menduduki kerusi menteri kanan dalam kerajaan, serta portfolio penting dengan pemimpin UMNO dan komponen BN.

“Ini bagi membolehkan tekanan lebih hebat dikenakan supaya Ismail Sabri menerima cadangan untuk membubarkan Parlimen lebih awal atau selewat-lewatnya sebelum Julai tahun depan.

“BN, khususnya UMNO sekarang ini terlalu yakin akan mencapai kemenangan besar jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat. Jika BN menang besar dalam PRU15, siapa yang akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan nama PM? Siapa yang akan diangkat menjadi PM?

“Sudah tentulah Zahid… kerana beliau adalah Pengerusi BN… siapa pula calon PM? Mestilah individu yang mengetuai BN… Zahid,” katanya sambil menjelaskan jika itu berlaku ia bakal mempengaruhi beberapa kes di mahkamah.

Menurut sumber itu, usaha paling hebat digerakkan kepemimpinan UMNO sekarang ini lebih menjurus dengan memberi tekanan kepada Ismail Sabri supaya mengadakan PRU15 sebelum Julai tahun depan.

“Ini yang paling penting bagi UMNO sekarang… untuk menang besar dalam PRU15 dan melepaskan pemimpin mereka daripada kes mahkamah. Sudah diketahui umum selama BN/UMNO memerintah sebelum ini, campur tangan dalam insitutsi kehakiman kerap berlaku.

“Sebab itu tekanan diberikan terhadap Ismail Sabri dengan pelbagai cara sekarang ini, terutama setelah mereka melihat PM tidak berupaya mentadbir negara tanpa sokongan PN,” katanya.

Tiada ulasan: