Astro Awani
Sekiranya
UMNO mahu bertarung dalam PRU15, parti itu perlu menjadi sebuah parti
yang kuat, stabil dan mampu mengharungi gelombang politik yang kuat pada
masa akan datang.
KUALA LUMPUR: Pemilihan parti UMNO perlu diadakan segera, tidak perlu ditangguhkan lagi, kata penganalisis politik, Mohammad Tawfik Yaakub.
Menurutnya, UMNO kini perlu diremajakan dan parti itu perlu ‘salin kulit’ dalam memastikan UMNO mendapat sokongan golongan muda dalam pilihan raya kelak.Tambahnya, pemilihan segera juga perlu dilakukan bagi mengelak 'moyang-moyang' atau veteran UMNO terus bertambah sehingga menyebabkan Undi18 semakin jauh dari parti itu.
“Saya yakin ahli UMNO yang mewakili suara di peringkat akar umbi itu dah letih dengan lihat kepimpinan. Mereka sebenarnya telah terinspirasi dengan apa yang berlaku di Melaka.
“Kalau UMNO masih lagi kekal dengan sikap yang lama, dengan umur (pemimpin) yang mencerminkan kepimpinan itu tidak mampu untuk terus ke hadapan.
“Saya tidak salahkan pemimpin yang telah berusia atau lebih umur tapi jangan jadikan parti politik itu tempat bersara bagi pemimpin politik.
“Sudah tidak tahu apa kerja nak dibuat dan dan masuk politik yang akhirnya menyebabkan usia kerajaan, usia negara, usia parti politik hanya berkisar kepada pemain politik yang tua, veteran atau moyang politik,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Selasa.
Ketika ditanya bilakah waktu sesuai mengadakan pemilihan parti, Mohammad Tawfik menegaskan ia perlu segera dilakukan, tidak menunggu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, sekiranya UMNO mahu bertarung dalam PRU15, parti itu perlu menjadi sebuah parti yang kuat, stabil dan mampu mengharungi gelombang politik yang kuat pada masa akan datang.
“Mahu atau tidak mahu, pemimpin akan datang dan pergi tapi kena ada jiwa yang besar untuk memberikan ruang kepada pelapis-pelapis dan pemimpin yang baharu untuk menerajui parti UMNO itu sendiri,” ujarnya.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan sejumlah 176 Pemuda UMNO Bahagian telah mengusulkan agar pemilihan parti diadakan hanya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan, 176 Pemuda UMNO Bahagian berpendapat pemilihan perlu diadakan selepas PRU15 bagi memastikan kerukunan serta kestabilan parti terpelihara.
Perkara sama turut dibangkitkan Setiausaha Puteri UMNO Asuma Beevi Mohamed Sali yang berkata 171 Bahagian bertegas mahukan jentera parti dipimpin dan difokuskan ke arah gerak kerja memenangi PRU15 sebagai agenda utama parti serta hanya mengadakan pemilihan parti selepas pilihan raya umum itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan