HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Januari 2022

Pas pilih Bersatu, UMNO tak terkejut – Ahmad Maslan

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan

PENGUMUMAN kerjasama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukanlah perkara mengejutkan.

Malah, perkara itu sudah dijangka lebih awal ramai pihak termasuk UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Langkah itu menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan seperti mengulangi sejarah kerjasama Pas dan Bersatu dalam PRN Melaka.

“UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebenarnya belum membuat keputusan muktamad (kerjasama dengan Pas), namun apabila parti itu kelihatan sudah memuktamadkan keputusan apabila terus bersama Bersatu, kita akur.

“Pas yang memulakan langkah, bukan UMNO atau BN yang memuktamadkan apa-apa,” katanya kepada pemberita.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, UMNO dan BN tetap akan bersedia untuk menghadapi cabaran kerjasama Pas dan Bersatu dalam PRN Johor.

Katanya, UMNO dan BN tidak akan memandang rendah terhadap parti lawan dan akan membuat persedian terbaik dalam pilihan raya kali ini.

“Dalam dinamik politik semasa, UMNO dan BN bersedia menghadapi apa juga kemungkinan termasuk berdepan PN semula.

“Ia tidak bermakna UMNO dan BN terlalu yakin, tetapi hasil PRN Melaka sudah terbukti, namun kita akan tetap bersedia dengan strategi lebih berkesan,” katanya.

Tiada ulasan: