HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Januari 2022

PN gesa SPR pastikan kempen lebih adil bagi PRN Johor

 MALAYSIA NOW

Ia adalah bagi menjamin pilihan raya bersih diadakan menjelang PRN Johor.

Perikatan Nasional (PN) hari ini menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan platform bagi parti yang bertanding selain garis panduan kaedah berkempen dan prosedur operasi dtandard (SOP) yang jelas dan adil bagi menjamin pilihan raya bersih menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali berkata garis panduan itu juga perlu disediakan lebih awal bagi membolehkan calon turun ke lapangan untuk memperkenalkan diri dan menerangkan dasar serta manifesto parti pada PRN tersebut.

“Demi menjamin prinsip dan amalan demokrasi yang kukuh dan padu serta proses pilihan raya yang bersih dan adil, SPR bertanggungjawab untuk menyediakan platform bagi parti-parti yang bertanding untuk berkempen dengan lancar berpandukan pematuhan SOP yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Ini bukan sahaja menjamin agenda pendemokrasian yang unggul, tetapi juga prinsip dan penghayatan demokrasi yang dinamik dan mantap.”

PRN Johor diadakan selepas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 22 Januari lalu.

Ia merupakan PRN keempat diadakan sejak pandemik Covid-19 melanda.

Pada PRN Melaka dan Sarawak Disember lalu, SPR mengumumkan SOP ketat dengan tidak membenarkan kempen bersemuka oleh calon-calon parti yang bertanding.

Awal minggu ini Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengatakan gabungan itu sudah bersedia untuk bertanding dalam PRN Johor.

Beliau berkata PN bersedia untuk bertanding di kesemua 56 kerusi DUN.

Tiada ulasan: