HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Januari 2022

Angkat calon muda, baru fikir kerjasama MUDA, Pemuda PKR beritahu PH

PH juga perlu menetapkan calon Menteri Besar jika mahu memenangi PRN 
Johor bagi menyakinkan pengundi, menurut Syukri Razab. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pemuda PKR meminta Pakatan Harapan (PH) terlebih dahulu mengutamakan dan mengangkat kepimpinan muda dalam gabungan itu sebagai calon pilihan raya negeri (PRN) Johor sebelum memikirkan kerjasama dengan parti MUDA.

Setiausaha Pemuda PKR, Syukri Razab berkata, PH mempunyai kekuatan sendiri dan gabungan itu perlu melihatnya secara menyeluruh sebelum mengikat kerjasama dengan mana-mana parti luar.

“Bagi saya PH perlu utamakan kepimpinan muda dalam komponen masing-masing, Amanah ada Pemuda Amanah, DAP ada Pemuda DAP, PKR ada Pemuda PKR dan sewajarnya dipertimbangkan potensi calon daripada sayap Pemuda dahulu sebelum memikirkan kerjasama dengan parti MUDA.

“Bagi saya PH ada kekuatan dan kelebihan tersendiri dan imej PH dilihat secara menyeluruh dan semua itu lebih memudahkan kita menang,” katanya kepada FMT.

Syukri mengakui parti MUDA pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempunyai potensi, bagaimanapun mereka akan terperangkap dalam usaha menarik sokongan pengundi dewasa.

“MUDA sebuah parti berpotensi tapi namanya mungkin sedikit terperangkap dalam mentaliti pengundi. Contohnya MUDA hanya untuk orang muda, pengundi dewasa, berusia, mungkin mereka rasa MUDA tak sesuai untuk mereka.

“Dalam PH ramai calon daripada kepimpinan Pemuda yang berpotensi, berkualiti,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, PH juga perlu menetapkan calon Menteri Besar jika mahu memenangi PRN Johor bagi menyakinkan pengundi.

“Ini penting. Pengundi nak tahu siapa calon MB daripada PH, PH perlu ada satu nama. Ia perlu dipilih secara berhati-hati, tokoh itu mesti bertenaga, boleh memobilisasi sokongan pengundi, bukan semata-mata popular tapi perlu ada kekuatan akar umbi dan boleh mendorong PH dapat lebih undi dalam PRN Johor,” katanya.

Sebelum ini PH bersetuju untuk bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi PRN Johor.

Gabungan itu yang terdiri daripada PKR, Amanah dan DAP turut bersetuju untuk berunding dengan parti MUDA berhubung isu pembahagian kerusi.

Tiada ulasan: