HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Januari 2022

PRN Johor: PH Simpang Renggam mahu guna logo PKR

Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik

Kluang: Pakatan Harapan (PH) Simpang Renggam bercadang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam kawasan parlimen itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan penggunaan logo itu bagi Dun Machap serta Layang-layang dan menyerahkan kepada pimpinan parti membuat keputusan.

"Itu terserah kepada (pimpinan) PH negeri untuk putuskan tetapi kami di Parlimen Simpang Renggam akan mengemukakan (cadangan) supaya bendera PKR digunakan di kedua-dua Dun ini.

"Ini kerana, ia (logo PKR) lebih dikenali dan PH menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana lambang ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera PH N26 dan N27 di sini, hari ini.

Maszlee turut menepis desas desus yang mendakwa beliau akan bertanding di kerusi Dun Layang-Layang dan menegaskan ketika ini fokus beliau hanya mahu memastikan kemenangan gabungan parti itu pada PRN Johor nanti.

"Apa yang penting kepada saya, fokus utama memenangkan calon di kawasan Parlimen Simpang Renggam, Dun Machap dan Layang-layang. Itu saya akan lakukan bersungguh-sungguh.

"Siapapun yang bertanding, parti (komponen) apa pun yang bertanding, kita akan pastikan kemenangan di situ dan fokus PH adalah untuk memenangi Johor.

"Saya memberikan komitmen untuk membantu PH dan memenangkan semua calon PH di kawasan ditandingi," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Maszlee tidak mengetahui mengenai khabar angin mengatakan beliau bertanding di Dun Layang-layang pada PRN Johor.

Maszlee dipetik berkata, beliau tidak terbabit dalam sebarang perbincangan di peringkat atasan parti.

Tiada ulasan: