HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Januari 2022

UMNO bangkit semula bukan kerana bantuan, sokongan PAS: Mat Hasan

UMNO melompat dan menunjukkan taring serta kuku sebenar mereka, dengan bercakap besar bahawa bukan PAS selama ini yang ‘mengubati’ patah kaki UMNO, sebaliknya orang Melayu, khusus penyokong totok parti itu.

Seperti ditegas Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Hasan, UMNO berjaya bangkit semula selepas kekalahan besar pada PRU14 lalu bukan kerana ubat mujarab PAS, tetapi kerana dukungan orang Melayu terhadap parti itu.

Dengan bangganya Mohamad berkata kejayaan UMNO ketika ini juga ekoran prestasi buruk kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“UMNO masih lagi parti Melayu terbesar. Malah parti politik terbesar di Malaysia. Kami bangkit semula bukan kerana ‘ubatan mujarab’ PAS.

“Tetapi kerana dukungan orang Melayu terhadap UMNO, dan kerana buruknya prestasi kerajaan PH dan PN,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Beliau juga dilihat memperlekehkan PAS yang mempunyai hanya lapan kerusi Parlimen tetapi mampu berada di dalam kerajaan hanya disebabkan UMNO.

“Tanpa UMNO, PAS juga tidak boleh menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan hari ini. Dan PAS tahu, tanpa UMNO ia tidak akan dapat kekal menjadi sebahagian dalam Kerajaan Persekutuan selepas PRU nanti,” kata Mohamad yang dikenali sebagai Mat Hasan.

Mohamad yang dilantik sebagai Pengarah PRN BN Johor juga mengingatkan PAS sekiranya BN tidak lagi relevan biarlah rakyat yang membuat keputusan.

“Jika PAS merasakan BN itu tidak lagi relevan, kita pulangkan lah kepada rakyat untuk memutuskannya. Dan biarlah rakyat juga memutuskan sama ada PAS dan PN itu relevan lagi kah atau tidak.” katanya.

Mengenai dakwaan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa PRN Johor diadakan atas kehendak kluster mahkamah, Mohamad berkata PRN itu diadakan kerana banyak sebab strategik dan bukan kerana kluster tertentu di dalam UMNO. Berita berkaitan

Menurutnya Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad mempunyai sebab tersendiri untuk mendapat mandat baharu dan bukan menjadi urusan lain untuk mempersoalkannya.

“Beliau diberikan kepercayaan sepenuhnya oleh parti untuk menasihati Sultan Johor, sesuai keadaan dan keperluan, bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Menuduh ‘kluster’ itu dan ini sebagai penyebabnya adalah sangat tidak munasabah. Untuk makluman istilah-istilah itu hanya ciptaan musuh UMNO sahaja,” kata Mohamad.

Tiada ulasan: