MALAYSIA POST
KINI hanya Umno dan rakyat sahaja yang masih bersama memperjuangkan desakan pengeluaran ‘one-off’ RM10,000 Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno itu berkata, rakyat kesal apabila pembangkang dalam sidang Parlimen baru-baru ini menyokong Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang tidak membenarkan rakyat membuat pengeluaran berkenaan.
“Hanya tinggal rakyat dan Umno memahami betapa terdesaknya sebahagian kita mahu mendapatkan wang tersebut bagi menampung keperluan diri dan keluarga.
“Kita faham rakyat masih terus berharap agar mereka dibenarkan mengeluarkan sedikit lagi wang daripada akaun KWSP untuk digunakan pada waktu sukar ketika ini,” katanya menerusi Facebook.
Justeru, Ahmad Zahid meminta rakyat menjadikan apa yang disaksikan itu sebagai tauladan pada masa depan.
“Kini rakyat sudah tahu apa yang perlu dilakukan dalam membuat penentuan pada PRN Johor dan PRU-15.
“Bagi Umno desakan pengeluaran ‘one-off’ wang KWSP RM10,000 buat kali terakhir bukan isu politik, tetapi isu berkenaan kepentingan rakyat yang masih dalam kesusahan berdepan kesan ‘long covid’ ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid tidak menolak kemungkinan pihak yang menolak desakan itu mempunyai agenda politik, kerana bimbang kebenaran pengeluaran KWSP berkenaan memberi merit kepada Umno dan pemimpin parti.
“Nasihat saya kepada mereka tidak semua perkara perlu dilihat dalam konteks politik.
“Perkara melibatkan isu yang merakyat seharusnya didokong oleh semua. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan