HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Januari 2022

Perjuangan Bersatu ‘tidak real’ berbeza dengan Umno – Zahid

MALAYSIA POST

Perjuangan Bersatu ‘tidak real’ berbeza dengan Umno – Zahid

APAKAH rasionalnya menyeru rakyat mempercayai sebuah parti yang pada masa yang sama sedang menghadapi krisis keyakinan kepimpinan dan akar umbi.

Persoalan itu disuarakan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengakui Umno adalah parti tulen dan ikhlas yang sejak dahulu lagi memperjuangkan agama, bangsa dan negara berbanding Bersatu.

“Maka apakah rasional dan kewajarannya untuk rakyat pula diminta supaya meyakini parti tersebut sedangkan sebahagian pimpinan akar umbinya tidak?

“Sebenarnya itulah perbezaan ketara antara sesuatu yang tulen dan tiruan, autentik dan rekaan. Pastinya yang original adalah berkualiti berbanding ciplak.

“Asas perjuangan Umno untuk agama, bangsa dan negara telah begitu lama disemat dalam parti ini. Ia asli, bukan retorik atau cuma agitasi politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian sebagai reaksi terhadap laporan media yang menyebut beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu Johor mahu keluar parti dan menyertai semula Umno.

“Kesahihan berhubung perkara itu pada akhirnya empunya diri jua ada jawapan, namun kalau benar ia suatu refleksi yang jelas lagi nyata.

“Parti yang suatu ketika dulu mendabik dada akan menggantikan Umno sedang menghadapi defisit keyakinan dalam kalangan pemimpin sendiri,” katanya.

Ahmad Zahid juga menegaskan, Umno ditubuhkan bukan atas dasar perjuangan politik peribadi atau bermotifkan dendam terhadap pihak lain.

“Umno bukan juga baru terbentuk atas asas perjuangan politik individu, dendam kesumat, dengki dan sakit hati serta bertujuan menzalimi seteru.

“Kesimpulannya Umno sebenar-benarnya parti politik yang ikhlas dan jujur mementingkan rakyat dan negara dalam perjalanan politiknya.

“Parti politik yang cuba menyamai Umno untuk memperdaya sokongan pengundi hanyalah bayangan semata-mata, tidak “real” dan palsu,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: