HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Januari 2022

PAS dicabar bubar DUN di negeri dikuasai, bukti kekuatan parti

NAJA

PAS dicabar bubar DUN di negeri dikuasai, bukti kekuatan parti

KALAU betul bagai dikata, PAS dicabar untuk berani membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang parti itu kuasai.

Setiausaha Agung Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, tindakan PAS yang membuta tuli menuduh Umno sengaja mencari alasan untuk mengada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor adalah sesuatu yang dangkal dan jahil.

Malah, Mustapha mencabar PAS membubar DUN di Kedah, Kelantan dan Terengganu seperti mana yang dinyatakan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa parti itu juga mampu mencetuskan PRN di tiga negeri berkenaan.

“Saya tidak akan mengulas kejahilan Hadi kerana saya tidak akan memperbodohkan diri saya menjawab kebodohannya.

“Tetapi kalau Hadi kata PAS juga mampu mencetuskan PRN di negeri-negeri yang PAS kuat, maka saya mencabar Hadi membubarkan DUN Terengganu, Kelantan dan Kedah untuk menguji kekuatan PAS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai tindak tanduk PAS yang ‘menyerang’ Umno sejak akhir-akhir ini, Mustapha menegaskan ianya telah diduga susulan salah percaturan politik parti itu di PRN Melaka tahun lepas.

“Puak Lebai kelarah meroyan dan sasau setelah PAS kalah dalam PRN Melaka dan gagal dalam rundingan mendapat kerusi DUN dalam PRN Johor.

“Hadi menyifatkan Umno sebagai itik patah kaki. Sementara Tuan Ibrahim sanggup membubarkan PAS dari bersama Umno dalam Muafakat Nasional.

“Hadi juga menuduh Umno sengaja mencari alasan untuk mengadakan PRN Melaka dan Johor. Dia juga memberi amaran PAS juga mampu mengadakan PRN di negeri yang dikuasai PAS. Sebagai ketua lebai yang senior dalam PAS, Hadi memang buta fakta bagaimana PRN Melaka dan Johor boleh berlaku.

Mustapha berkata, kini mula kedengaran pemimpin PAS mengugut untuk membubarkan MN, walhal sebelum ini mereka tidak mempeduli pun hala tuju gagasan itu ketika PRN Melaka.

“Saya tidak hairan dengan gelaran yang dibuat oleh lebai-lebai kelarah ini kerana sedari dulu mereka telah melabelkan Umno sebagai kafir dan macam-macam lagi.

“Tuan Ibrahim pula terencat apabila permintaannya untuk mendapat 15 kerusi dalam PRN Johor ditolak. Akibatnya dia mengeluarkan kenyataan kononnya lebih baik PAS dibubar dari bersama dengan Umno dalam MN.

“Sama ada nak bubar atau nak kuburkan PAS itu hak mereka. Itu bukan urusan Umno. Tuan Ibrahim tidak sepatutnya melahirkan kekecewaannya kerana gagal dalam perundingan dengan mengaitkan Umno. Lagi pun MN sudah terkubur dan menjadi arwah,” katanya. -Malaysiapost

Tiada ulasan: