Zahid Hamidi tidak menyatakan sama ada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang keluar parti akan diterima melompat masuk ke dalam UMNO.
Sebaliknya Presiden parti yang diberi imej parti rasuah oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad itu, memetik media yang mengatakan beberapa ADUN Bersatu di Johor mahu keluar parti dan menyertai semula UMNO.
Menurut Zahid lagi asas perjuangan UMNO untuk agama, bangsa dan negara telah begitu lama disemat dalam parti ini dan ia adalah asli, bukan retorik atau cuma agitasi politik.
“Bukan juga baru terbentuk atas asas perjuangan politik individu, dendam kesumat, dengki dan sakit hati serta bertujuan menzalimi seteru.
“Kesimpulannya UMNO sebenar-benarnya parti politik yang ikhlas dan jujur mementingkan rakyat dan negara dalam perjalanan politiknya,” kata Zahid yang tidak pernah berdendam, dengki, sakit hati atau mengkhianati rakan politik lain.
Zahid sebelum ini membawa bersama 14 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin – bukan kerana dendam, dengki, sakit hati – sehingga Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Bersatu tumbang.
Zahid juga pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) selama 33 bulan sebelum Barisan Nasional (BN) dan UMNO kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Selepas BN/UMNO tidak menjadi kerajaan beberapa pemimpinnya, termasuk Zahid dan bekas Presiden parti itu Najib Razak diheret ke mahkamah atas puluhan tuduhan jenayah.
Skandal kewangan, rasuah, pecah amanah dan penyelewengan melibatkan pemimpin UMNO sebelum ini tertutup rapi, mula terbongkar sedikit demi sedikit apabila puluhan saksi mengangkat sumpah menceritakan hal sebenar.
Zahid sendiri berdepan 87 pertuduhan jenayah masing-masing 47 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dan 40 lagi di Mahkamah Tinggi Shah Alam, membabitkan jutaan ringgit. Tetapi, Zahid langsung tidak sakit hati atau berdendam kepada sesiapa yang menyebabkan dia diheret ke mahkamah.
Kesalahan dilakukan ketika menjadi TPM selama 33 bulan, Menteri Dalam Negeri dan pada masa sama menjadi Timbalan Presiden UMNO.
24 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi melibatkan jutaan ringgit.
Pada 26 Januari lalu, bekas Ketua Hakim Negara menggesa UMNO menyingkirkan Zahid dan Najib untuk menghilangkan imej rasuah yang ada pada parti itu sebelum PRU akan datang. Berita berkaitan
Malah beliau juga berpendapat Zahid dan Najib sekarang ini menggunakan UMNO untuk membebaskan mereka daripada pertuduhan di mahkamah.
Untuk rekod Abdul Hamid bukan ahli mana-mana parti yang bercakap atas dasar politik, sebaliknya beliau adalah pengamal undang-undang yang pernah menjawat jawatan tertinggi dalam bidang kehakiman negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan