Kemenangan besar seperti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal berulang di Johor nanti, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.
Setiausaha Agung UMNO itu yakin satu lagi kemenangan bergaya bakal menjadi milik parti itu, ia ditambah tindakan PAS yang kekal bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) akan memberi mereka peluang cerah untuk menang lebih banyak kerusi di Johor nanti.
“Kelihatannya tindakan PAS terus bersama Bersatu dan PN, seolah-olah mahu mengulangi apa yang berlaku di PRN Melaka.
“Dalam dinamik politik semasa, UMNO dan BN bersedia menghadapi apa juga kemungkinan termasuk berdepan PN semula.
“Ia tidak bermakna UMNO dan BN terlalu yakin, tetapi hasil PRN Melaka sudah terbukti, namun kita akan tetap bersedia dengan strategi lebih berkesan,” katanya dengan penuh yakin.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bertemu Jawatankuasa Tertinggi Parti Makkal Sakti Malaysia dan ketua bahagian parti itu hari ini.
Semalam, PAS dan Bersatu mengumumkan bertanding pada PRN Johor menggunakan logo PN.
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan berkata perkara itu dipersetujui hasil muzakarah antara kedua-dua parti berkenaan.
Pada PRN Melaka, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PN memenangi dua kerusi menerusi calon Bersatu dengan PAS yang bertanding di lapan DUN, gagal memenangi sebarang kerusi.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, UMNO dan BN tetap bersedia menghadapi cabaran Bersatu dan PAS serta Pakatan Harapan (PH) pada PRN nanti.
“Bukan sesuatu yang memeranjatkan apabila PAS umum bekerjasama dengan Bersatu. Ia sudah kita jangkakan,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan