PETALING JAYA: Badan bukan kerajaan (NGO) Undi 18 meramalkan pengundi muda pada pilihan raya negeri (PRN) Johor tidak akan mengendahkan politik berasaskan kaum dan akan memilih calon yang boleh menjanjikan masa depan yang baik.
PRN Johor akan menjadi pilihan raya pertama membabitkan pengundi
berusia 18 hingga 20 tahun. Ini selaras dengan pindaan perlembagaan 2019
yang menurunkan usia mengundi daripada 21 tahun.
Pengasas bersama Undi 18 Qyira Yusri berkata, ramai pengundi muda cenderung untuk melihat rekod prestasi dan janji pilihan raya calon atau parti.
“Orang muda cenderung melihat melampaui isu bangsa dan agama walaupun bukan sepenuhnya. Mereka cenderung kepada ahli politik yang berasaskan dasar. Saya rasa mereka akan melihat perkara seperti manifesto dan janji pilihan raya,” katanya kepada FMT.Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azmi Sharom baru-baru ini dipetik sebagai berkata, kira-kira 6% daripada 2.5 juta pengundi di Johor tergolong dalam “segmen Undi 18”.
Daftar pemilih terkini yang diwartakan bulan ini turut menyenaraikan individu yang berusia 18 tahun setakat 31 Dis.
Qyira berkata, amalan lompat parti menjadi satu isu yang membimbangkan golongan muda.
“Mana-mana parti atau gabungan yang tampil dengan pendirian tegas dalam isu ini serta berjanji untuk menanganinya akan dapat meraih undi golongan muda,” katanya.
Ahli sains politik, Azmil Tayeb berkata, pengundi muda tidak semudah diramal seperti golongan yang lebih berusia.
“Isu lazim penting bagi mereka dan ini memberi peluang kepada parti untuk bersaing mendapatkan sokongan berdasarkan kempen berprogram berbanding bergantung kepada sentimen perkauman dan agama,” katanya.
Beliau berkata, antara isu yang penting bagi golongan pengundi ini termasuk pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pekerjaan dan kos sara hidup yang semakin meningkat.
James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, penting untuk memerhatikan kadar keluar mengundi dalam kalangan individu berusia 18 hingga 20 tahun dan melihat corak pengundian mereka.
“Ini akan menjadi kali pertama kita mendapat data kukuh tentang cara mereka mengundi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan