HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Januari 2022

Umno pertaruh calon muda, muktamadkan dalam masa terdekat

Pengerusi Perhubungan Umno Johor merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, proses mengenal pasti calon sedang dilakukan parti ketika ini dan dijangka akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Katanya, calon parti akan mengambil kira keperluan semasa termasuk pertambahan pengundi muda susulan pelaksanaan secara automatik Undi18.

"Umno dan BN bukan statik dan berkembang ikut peredaran masa. Ketika ini masyarakat mahu calon dikemukakan terdiri daripada orang muda dan muka baharu.

"Maka kita tidak abaikan apa juga saranan dan tuntutan pelbagai pihak dalam membentuk kerajaan Johor yang lebih stabil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina di Dun Benut, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Ditanya peratusan calon muda yang akan dikemukakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Hasni bagaimanapun tidak dapat memberikan kuota atau peratusan yang tetap.

"Saya tidak boleh tetapkan (kuota) begitu seperti mana yang berlaku pada PRN Melaka atau Sarawak kerana setiap calon (muda atau berpengalaman) mempunyai kekuatan masing-masing.

"Di Johor kita ada caranya. Penetapan kuota bukan caranya. Kita akan pertimbangkan semua aspek sebelum muktamadkan calon," katanya.

Sementara itu, Hasni turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Adun Puteri Wangsa Mazlan Bujang yang mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) semalam selain menyatakan untuk menyokongnya sebagai Menteri Besar.

"Saya doakan beliau (Mazlan) terus bergerak aktif dalam politik. Dalam tempoh 24 bulan beliau menyandang jawatan Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, saya rasakan beliau sudah memahami cara kerja Umno dan BN.

"Di situ saya rasa, Mazlan lihat kita ada persefahaman dan menyebabkan beliau yakin untuk menyokong BN, Umno serta kepimpinan saya," katanya.

Tiada ulasan: