HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Januari 2022

Aksi depan Ismail Sabri mengundang ‘salah sangka’ warganet

Aksi enam individu lengkap dengan tali keselamatan di tebing pelantar terbuka (sky deck) Menara Kuantan 188 sambil memegang kain rentang Keluarga Malaysia mengundang ‘salah sangka’ orang ramai.

Rata-rata warganet secara berseloroh menyangka gimik menyambut Perdana Menteri itu boleh mengundang pelbagai tafsiran ketika realiti pada masa ini rakyat berdepan dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi.

Gambar tersebut juga dikongsikan Ismail Sabri di Facebook rasminya kelmarin dengan memberitahu bahawa Menara Kuantan 188 menyajikan pemandangan 360 darjah keseluruhan bandaraya Kuantan.

“Produk pelancongan terkini dan ikonik yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di pesisir Sungai Kuantan.

“Konsep reka bentuk pembinaan menara ini diinspirasikan daripada daun dan bunga pokok Teruntum Putih yang dulunya banyak terdapat di pinggir Sungai Kuantan,” kata Ismail lagi.

Namun, orang ramai dilihat tertarik dengan aksi sekumpulan individu berdiri di tebing pelantar terbuka di bawah terik matahari termasuk ‘menyangkakan’ cubaan bunuh diri.

“Sampai macam tu sekali nilai nyawa manusia semata-mata untuk pegang sepanduk ‘Keluarga Malaysia’,” kata Amal Amani.

Sementara itu, Izzat Naimullah Ismail pula menulis, “aku ingat tali gantung tadi. Kenapalah mereka ini jadi badut tengah panas” manakala Apai Faizal berkata, “hebat. Macam tengok orang gantung diri. Macam zoo pun ada juga. Betul-betul pemikiran luar kotak.”

Tiada ulasan: